Saturday 2 June 2012

~Daftar Kata~

Tugasan kali ini berkaitan dengan daftar kata yang berkaitan dengan Sosiolinguistik. Di bawah ini saya nyatakan  serba sedikit.

Sosiolinguistik:
kajian tentang bahasa yang berkaitan dengan masyarakat (dalam konteks sosial dan budaya)

Setia Bahasa:
Sikap penutur yang positif terhadap sesuatu bahasa dan yakin terhadap kemampuan bahasa berkenaan sebagai alat pemikiran dan komunikasi.

Ragam Bahasa:
Beberapa jenis bahasa khas yang digunakan dalam penulisan atau pertuturan untuk menguatkan tujuan kata dan mempertajam hasilnya kepada kefahaman pendengar dan pembaca.

Multilingualisme:
Seorang penutur dapat menguasai lebih daripada dua bahasa dalam satu masa.

Bilingualisme:
Seseorang penutur mengetahui dan menguasai dua bahasa dan menggunakan kedua-duanya dalam kehidupan seharian.

Diglosia:
Penggunaan dua bahasa yang berlainan, iaitu satu bahasa yang tinggi dan bersifat formal dan satu bahasa lagi rendah tarafnya dan tidak rasmi. Contohnya, Bahasa Melayu baku dengan dialek.

Poliglosia:
Wujud dalam suasana kepelbagaian bahasa, dialek atau laras bahasa yang kedudukan pelbagai.

Bahasa Eksklusif:
Bahasa yang digunakan dalam kelompok tertentu.

Bahasa Insklusif:
Bahasa yang ditempatkan di atas sesebuah bahasa atau beberapa jenis bahasa yang sedia ada.

Bahasa Pijin:
Bahasa campuran antara dua atau lebih bahasa


Thursday 3 May 2012

Situasi 40 ~Surat Khabar~

Status ini merupakan status terakhir saya untuk tugasan Sosiolingusitik. Hari ini saya ingin membicarakan tentang media massa, iaitu surat khabar. Surat khabar di Malaysia sekarang sudah tidak banyak atau boleh dikatakan tiada maklumat ilmiah namun lebih kepada politik. Setiap hari kita dihidangkan dengan berita-berita mengenai politik. Semalam saya terkejut apabila membaca akhbar secara atas talian mengenai berita yang tidak sepatutnya disiarkan, iaitu menyiarkan berita dan gambar video lucah seorang ahli politik.


PENDAPAT:
Seharusnya, berita yang disiarkan harus ditapis kerana semua golongan membaca akhbar dan hal ini boleh merosakkan pemikiran kanak-kanak apabila melihat dan membaca akhbar berbaur lucah begitu. Jika betul sekali pun berita tersebut, janganlah sampai menunjukkan gambar yang sebegitu rupa.

Tuesday 1 May 2012

Situasi 39 ~Moden VS Tradisional

Semasa sedang melayari internet, aku terjumpa peribahasa-peribahasa lama yang telah dimodenkan. Di bawah ini terdapat beberapa contoh peribahasa moden itu:

  • kecil tapak tangan, tapak sulaiman saya tadahkan
  • ke mana tidak tumpahnya kuah, kalau tidak ke bawah
  • biar putih tulang, jangan kuning gigi
  • carik-carik bulu ayam, lama-lama jadi 'shuttlecock'
  • alang-alang mandi biar guna sabun
  • berani kerana benar, takut kerana penakut
  • diam-diam ubi berisi, diam-diam orang bisu
  • hidup segan mati ditanam
PENDAPAT:
Perubahan yang dilakukan oleh masyarakat kita sekarang terhadap peribahasa dahulu telah mengubah makna dan menyebabkan keindahan peribahasa tersebut hilang. Masyarakat kita hanya mengubah sesuka hati dan menyebabkan kerosakan bahasa.


Situasi 38 ~Pengantar atau Penghantar

Semasa pembentangan berlangsung pada hari rabu lepas, aku perasan satu perkataan, iaitu 'pengantar' dan 'penghantar'. Ada kumpulan yang menggunakan 'penghantar' dan kebanyakan kumpulan menggunakan 'pengantar'. Keadaan ini telah menyebabkan aku keliru. 'Pengantar' atau 'penghantar'?
Menurut Awang Sariyan, kata pengantar diterbitkan daripada kata 'hantar' seperti yang dihuraikan dalam kamus. Ke manakah hilangnya 'h' sehingga 'hantar' menjadi 'antar'? Apakah proses morfologi yang berlaku?
Awang Sariyan telah menyatakan pendapat bahawa, beliau telah berpegang pada bentuk 'kata penghantar' sebagai bentuk yang tepat. Kehilangan 'h' dijelaskan oleh sesetengah ahli bahasa di Indonesia sebagai proses 'aus bahasa', iaitu pengguguran unsur tertentu (dalam hal ini bunyi/ huruf 'h'). Tetapi proses aus bahasa itu berlaku dalam bahasa lisan.
Menurut Awang Sariyan lagi, dalam Penyata Razak 1956, iaitu penyata pendidikan yang kemudian menjadi asas Akta Pendidikan 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996, ada penggunaan 'bahasa penghantar' untuk padanan 'medium of instruction' dan itulah bentuk yang tepat. 
Orang pada waktu itu masih mempertahankan huurf 'h' tetapi kerana kurang peduli tentang bahasa yang baku, maka lama-kelamaan huruf itu mengalami aus bahasa dalam pertuturan, dan kemudian melarat pula dalam bahasa tulisan.

SUMBER: Kembara Bahasa

PENDAPAT:
Ramai yang sudah tidak tahu perkataan mana yang betul dan perkataan mana yang salah. Jika ramai yang menggunakan perkataan tersebut, kita akan menganggap perkataan tersebut betul dan tidak berusaha untuk membuktikan kesahihannya.

Monday 30 April 2012

Situasi 37 ~Bahasa Melayu


Bahasa Melayu merupakan bahasa yang unik. Bahasa ini dikatakan lebih unik daripada bahasa Inggeris yang begitu diagung-agungkan oleh kebanyakan masyarakat kita sekarang. Kita seharusnya berbangga dengan bahasa ibunda kita yang dianugerahkan oleh Allah. mesti kawan-kawan tertanya-tanya kenapa saya mengatakan bahasa Melayu itu unik?
Di sini saya jelaskan sedikit mengapa bahasa Melayu dikatakan unik. Contoh yang saya ambil ialah makanan utama rakyat Malaysia, iaitu beras. Di samping beras, terdapat juga perkataan lain yang hampir sinonim dengan beras seperti nasi, padi, pulut dan sebagainya bagi menjelaskan keadaan dan jenis yang berlainan.
Sebaliknya, jika dilihat dalam bahasa Inggeris, perkataan nasi, beras dan seumpamanya hanya merujuk kepada satu perkataan sahaja, iaitu rice. Hal ini jelas membuktikan bahawa bahasa Melayu jauh lebih unik dan istimewa daripada bahasa-bahasa lain.



PENDAPAT:
Berbanggalah dengan bahasa Melayu kerana ianya mempunyai keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri. "Bahasa Menunjukkan Bangsa."


Situasi 36 ~Perancangan Bahasa~


Menurut Haugen perancangan bahasa ialah usaha-usaha yang dijalankan oleh pertubuhan atau jawatankuasa tertentu untuk penyuburan bahasa. Haugen telah mengemukakan empat peringkat di dalam perancangan bahasa, iaitu pemilihan, pengekodan, pelaksaan dan peluasaan.


  • PEMILIHAN
Peringkat ini melibatkan pemilihan satu bahasa atau beberapa buah bahasa atau norma yang akan dibina untuk tujuan tertentu, selalunya ia adalah bertujuan menjadikan bahasa tersebut mencapai taraf sebagai bahasa rasmi dan menjalankan tugas sebagai bahasa kebangsaan. Norma ialah sesuatu konsep abstrak yang dipilih atau dibentuk sebagai matlamat di dalam perancangan tersebut. sesuatu bahasa baku itu adalah suatu norma yang dijadikan matlamat perancangan bahasa.
  • PENGEKODAN
Pengekodan melibatkan hal-hal dan usaha-usaha di dalam pembakuan bahasa. Unsur-unsur seperti kata, istilah, tatabahasa dan ungkapan-ungkapan tertentu adalah kod-kod bahasa. Usaha pembakuan ialah pengenalpastian kod-kod yang banyak dan menentukan penggunaan satu daripada banyak kelainan kod tersebut atau mewujudkan satu kod baru daripada beberapa dialek yang ada.
  • PELAKSAAN 
Pelaksaan melibatkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh sesuatu agensi, institusi atau individu tertentu di dalam penggunaan norma yang dipilih dan dikodkan tersebut.
  • PELUASAN
Peringkat peluasan berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan bahasa tersebut dari segi bentuk dan fungsinya. Hal ini melibatkan proses pemodenan bahasa itu secara umum.



PENDAPAT:
Perancangan bahasa dibuat untuk membaiki ejaannya, tatabahasanya, istilahnya dan penggunaan bahasa itu secara umumnya untuk menjadi lebih efisien.

Friday 27 April 2012

Situasi 35 ~Lewah~

Sering kali saya terdengar penggunaan bahasa lewah dalam kalangan rakan-rakan dan termasuklah saya sendiri. Contohnya:
"Acu tra test gak baju ni..."
Bahasa lewah merupakan fenomena lazim dalam kalangan masyarakat kita. Lewah terjadi apabila dalam sesebuah pertuturan itu terkandung penggunaan kata yang berlebihan dari keperluannya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 934), lewah ialah berlebih-lebih sehingga tertambah perkara, hal dan sebagainya yang tidak perlu misalnya perkataan yang digunakan dalam ayat.
Kelainan binaan ayat 1 hingga 3 begitu kecil, dan kelihatan tiada cacatnya jika tidak diteliti dan dihalusi. Perhatikan ayat terbitan 1a hingga 3a yang berikut:

1. (a) Saya akan pergi jika sekiranya tuan membenarkannya.
 (ayat asal: Saya akan pergi jika tuan membenarkannya.)

2. (a) Ia tidak pernah datang-datang lagi semenjak dari hari lamarannya dahulu ditolak.
 (ayat asal: Ia tidak pernah datang-datang lagi semenjak hari lamarannya dahulu ditolak)

3. (a) Jikalau sekiranya tuan pergi, saya pun ingin pergi.
 (ayat asal: Jikalau tuan pergi, saya pun ingin pergi)

Kata sekiranya bermaksud kalau, kalau-kalau, seandainya; yakni bersinonim dengan maksud kata jika, jikalau dan kalau. Penggunaan bentuk frasa jika sekiranya, jikalau sekiranya, atau kalau sekiranya dianggap lewah.

PENDAPAT:
Barangkali agak sukar bagi kita untuk mengetahui bahasa lewah, namun dengan adanya kesungguhan tiada yang mustahil di dunia ini. Sebagai pengguna bahasa, kita seharusnya dapat mengenal pasti bentuk-bentuk bahasa yang baku, dan bentuk-bentuk bahasa yang lewah sifatnya supaya apabila berbahasa, kita dapat memilih bentuk yang baku dalam wacana berbahasa rasmi.