Saturday 31 March 2012

Situasi 22 ~Bahasa Pujukan~

Pujukan memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi seseorang untuk melakukan sesuatu. Bahasa pujukan digunakan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain agar mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan. Raminah Sabran (2002) menjelaskan pemujukan bermatlamat memujuk seseorang berbuat sesuatu seperti yang diharapkan. Tengok situasi di bawah:

Situasi 1

Penjual: sesuai sangat tudung itu dengan adik..cantik la kalau adik pakai...
pembeli: ye ke kak?
Penjual: ye dik...rugi betul kalau adik tak beli...menyesal nanti..
pembeli: kira jadi la kak tudung ini..


Situasi 2

Mira: Ika, cantik la beg kau...baru beli ke?
Ika: ye ke? aku baru je beli tiga hari lepas...
Mira: ye la...memang cantik habis la...mesti mahal kan?
Ika: tak ada la...biasa-biasa je...
Mira: nanti boleh la aku pinjam ye..
Ika: eh,boleh je..

Situasi 3

Anak: ada apa-apa yang boleh saya tolong mak? Kesian pulak tengok mak buat kerja...
Mak: tolong mak goreng ikan la..
Anak: itu je ke mak?lain-lain tak ada ke?saya tak ada kerja nak buat ni...
Mak: itu je la...yang kau rajin sangat ni kenapa?tak pernah-pernah tolong mak buat kerja...
Anak: Saya nak duit  RM50 boleh mak?hehe

PENDAPAT:
Bahasa pujukan sangat penting dan berupaya mempengaruhi seseorang dalam membuat sesuatu keputusan. Bahasa pujukan ini biasanya digunakan oleh penjual-penjual untuk mempenagruhi dan memujuk pelanggan.
Arak-arak kelapa puan,
Tidak puan kelapa bali,
Harap-harap kepada tuan,
Tidak tuan siapa lagi.

Thursday 29 March 2012

Situasi 21 ~Puisi Melayu~

~PERIBAHASA~
Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap di dengar dan bijak perkataannya. Terdapat pihak yang mengklasifikasikan peribahasa kepada peribahasa selapis, yang terdiri daripada pepatah, bidalan dan perbilangan, peribahasa berlapis, iaitu perumpaan dan lidah pendeta. Contohnya:
bagai isi dengan kuku- hubungan yang sangat akrab

~Simpulan Bahasa~
Abdullah Hussein (1990), simpulan bahasa ialah perkataan atau kelompok perkataan yang tertentu untuk menyatakan sesuatu maksud lain daripada erti yang lazim. Contohnya:
Panjang tangan- suka mencuri

~Perumpamaan~
peribahasa yang mempunyai makna dua lapis. Peribahasa seperti ini menyebutkan sesuatu maksud dengan diumpamakan kepada sesuatu perkara yang sebanding dengannya. Ada kalanya juga, perumpamaan disebut sebagai bahasa kiasan atau kias ibarat. Contohnya:
seperti katak di bawah tempurung- orang yang tidak tahu apa-apa yang berlaku di sekelilingnya
Diberi betis hendak paha-diberi sedikit hendak banyak

~Bidalan~
Sebahagian daripada peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat, peringatan dan sebagainya kepada masyarakat di samping mempunyai ilmu, nilai dan pengajaran yang sangat berguna (Rubiah Aksah, 2005: 222). Contohnya:
"Hilang bini boleh dicari, hilang budi badan celaka"- harta yang hilang boleh dicari ganti, tetapi sekiranya budi yang hilang seseorang itu akan menerima padahnya.

~Pepatah-petitih~
Panduan dan pedoman daripada orang tua-tua agar masyarakat kini dapat menjalani kehidupan dan mengamalkan adat resam dengan lebih sempurna (Rubiah Aksah,2005: 174). Contohnya:
"Jauh berjalan banyak pengalaman, lama hidup banyak dirasa"- orang yang suka merantau akan mempunyai banyak pengalaman dan orang tua yang panjang umurnya telah banyak merasai suka duka dalam kehidupan.

~Perbilangan~
Mempunyai struktur yang hampir sama dengan pepatah dan bidalan melainkan perbilangan disusun  berangkap-rangkap seperti ikatan puisi. Setiap rangkap pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan disebut satu demi satu seolah-olah orang sedang membuat perbilangan. Ia berkait rapat  dengan adat istiadat, undang-undang atau peraturan masyarakat. Contohnya:
"cubit paha kiri, paha kanan terasa- kita akan merasa penderitaan yang ditanggung oleh orang yang rapat dengan kita.

~Gurindam~
Satu bentuk puisi Melayu yang terdiri daripada dua baris yang berpasangan, bersajak atau berirama dan memberi idea yang lengkap atau sempurna dalam pasangannya. Baris pertama gurindam dipanggil syarat (protasis) dan baris kedua dipanggil jawab (apodotis). Contohnya:
"kalau banyak berkata-kata, di situlah boleh terjadi dusta"- orang yang banyak bercakap akan menipu juga.

~Seloka~
Puisi Melayu bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, sama ada mempunyai irama atau tidak. Secara amnya, terdiri daripada ungkapan sejajar yang melebihi daripada dua baris, mempunyai kadensa yang sama seperti talibun dan prosa berirama. Ciri penting bagi seloka adalah mempunyai maksud mengejek, menyindir secara serius atau jenaka, mengkritik tingkah laku dan sifat negatif. Contohnya:
Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk

~Tamsil~
Misalan yang berkias serta mengandungi pengajaran dan teladan. Contohnya:
Resmi padi, makin berisi makin menunduk

~Ibarat~
Mempunyai maksud berlapis, iaitu maksud tersurat berbeza dengan maksud tersirat. Contohnya:
Ibarat melukut di tepi gantang

~Kata-kata Pujangga~
Hasil pemikiran bijak pandai dan tokoh-tokoh tersohor. Biasanya mengandungi pengertian yang mendalam, iaitu sebagai suatu peringatan di samping menjadi panduan dalam kehidupan (Rubiah Aksah, 2005: 268). Contohnya:
Muafakat membawa berkat

~Hadis Melayu~
hadis Melayu adalah perkataan yang bukan bersandar atau disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Ia adalah ungkapan mengenai sesuatu perkara yang kebanyakannya diambil daripada kitab-kitab Jawi lama atau banyak merujuk kepada buku terjemahan dalam bahasa Melayu tanpa merujuk kepada naskhah asal bahasa Arabnya. Contohnya:
'Bekerjalah kamu seolah-olah kamu hidup seribu tahun lagi dan beribadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok'.

Tuesday 27 March 2012

Situasi 20 ~Dialek Sarawak~


Dalam kelas hari ini, aku terdengar perbualan rakan dari Sarawak. Namun, sedikit pun aku tidak dapat memahami perkara yang mereka sedang bualkan. Bahasa yang digunakan lain benar dengan bahasa Melayu standard.
Bahasa Melayu Sarawak merupakan dialek yang paling besar perbezaannya dengan dialek-dialek Melayu lain di Malaysia. Dialek ini juga dipengaruhi bahasa Melayu Brunai, Bahasa Iban, Bidayuh, Melanau, dan bahasa suku-suku di Filipina. Berikut adalah beberapa perkataan dalam dialek Melayu Sarawwak:

kamek= saya
kitak= awak/kamu
Nya= dia
Sik= tidak 
Sikboh= jangan
Itok= ini
Sitok= sini
Ya= itu
Siya= situ
Sinun= sana
Ne= mana
Sine= di mana
Madah= cakap
Sidak= orang
Kacak= cantik
Lawa= sombong
Lamak= lama
Temu= jumpa
Pusak/pusa= kucing
Asok= anjing
Manok= ayam
Ya= auk


PENDAPAT:
Dialek Sarawak begitu unik dan sangat susah untuk difahami oleh penutur lain.

Monday 26 March 2012

Situasi 19 ~Tesis Bahasa SMS~

Pensyarah kesan pelajar IPTA terbiasa guna singkatan dalam tugasan

KUALA LUMPUR: Fenomena penggunaan bahasa singkatan SMS dan bahasa sembang siber yang semakin serius mempengaruhi pelajar sekolah turut melanda pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sehingga ada yang menggunakannya dalam penulisan tesis dan tugasan.
Malah ada pensyarah yang berasa tidak dihormati dan menganggap pelajar bersikap biadap kerana menghantar SMS yang singkat dan tidak formal seolah-olah memandang remeh batasan hubungan antara pensyarah dan pelajar. (Berita Harian, 8 Jun 2011)
'Tesis Bahasa SMS', pernah menjadi tajuk depan Berita Harian tahun lepas. Hal ini menunjukkan betapa seriusnya masalah ini.
Apakah yang dimaksudkan dengan SMS? 

SMS merupakan salah satu fenomena bahasa atau trend pada masa kini yang berleluasa dalam kalangan pengguna telefon bimbit. SMS adalah singkatan kepada Short Messaging Service atau Khidmat Pesanan Ringkas. Penggunaan bahasa SMS melalui komunikasi telefon bimbit pada zaman sekarang telah merebak kepada semua komunikasi lain seperti emel, penulisan blog, dan forum komuniti termasuk laman sosial seperti Facebook, MySpace, Twitter dan lain-lain. Bahasa SMS mencemarkan bahasa Melayu kerana terdapat penggunaan bahasa singkatan, bahasa rojak, slanga dan sebagainya yang menyebabkan hilangnya ketulenan bahasa tersebut. Contohnya:
 "akum, ley x sape2 bgtau cm ne nk siapkn keje ni...? idea plz..."
("Assalamualaikum, boleh tidak sesiapa beritahu macam mana hendak siapkan kerja ini..? idea please...")


PENDAPAT:
Jika dahulu hanya pelajar sekolah sahaja yang begitu terpengaruh dengan bahasa SMS  sehingga menggunakannya ketika peperiksaan, namun wabak ini telah menjangkiti pelajar IPTA pula sehingga terbawa-bawa ke dalam tesis. Keadaan ini menunjukkan bahasa SMS sangat mempengaruhi masyarakat kita pada hari ini. Hal ini tidak sepatutnya terjadi kepada pelajar IPTA yang dianggap mempunyai pelajaran yang tinggi dan merupakan harapan negara. selain itu, ia juga akan mencemarkan kemurnian bahasa Melayu sekali gus akan memusnahkan bahasa Melayu suatu masa nanti.


Situasi 18 ~Istirahat atau Istirehat~

Antara perkataan istirehat dengan istirahat yang mana sebenarnya betul ejaannya? Sewaktu di sekolah dahulu, aku sering menggunakan perkataan istirehat untuk maksud "suasana bersantai" atau "berhenti daripada melakukan sesuatu untuk menghilangkan penat".
Yang kita tidak sedari ialah perkataan istirehat ini tidak disenaraikan di dalam mana-mana empat versi Kamus Dewan walaupun penggunaannya sangat kerap. Sebaliknya, yang disenaraikan ialah istirahat. Perkataan istirahat berasal daripada bahasa Arab.
Perkataan rehat dan rahat terdapat di dalam Kamus Dewan, dengan makna yang sama dengan istirahat. Perkataan rahat ini berasal daripada bahasa Arab juga, mungkin kependekan bagi perkataan istirahat. Perkataan rehat pula mungkin mungkin bentuk asal atau telah sedia ada dalam bahasa Melayu lalu digunakan secara baku.



PENDAPAT:
Kelaziman penggunaan istirehat mungkin disebabkan wujudnya perkataan yang hampir sama makna, iaitu rehat. Perkataan ini mungkin sebagai ganti istirahat, yang disesuaikan sebutannya kerana kejanggalan menyebut rahat

Sunday 25 March 2012

Situasi 17 ~Bahasa Badan~

Semasa dalam kelas KPD, pensyarah telah menegur salah seorang daripada rakan sekelas aku kerana dirasakan berlainan daripada biasa. Macam mana pensyarah tersebut boleh mengetahui? Beliau boleh membacanya melalui bahasa badan pelajar tersebut.
Bahasa badan merupakan komunikasi tentang perasaan, emosi, dan sikap seseorang menerusi pergerakan badan seperti gerak isyarat, postur, ekspresi muka, cara berjalan, kedudukan, dan jarak. Dalam kata lain, bahasa badan adalah cara seseorang menyampaikan emosi menerusi pergerakan badan.

Menurut Albert Mehrabian, seorang pengkaji yang merintis kajian tentang bahasa badan sekitar tahun 1950-an, impak kata-kata dalam menyampaikan sesuatu mesej cuma sekitar 7%, 38% bergantung kepada suara, iaitu intonasi, kelantangan, dan gaya percakapan. Lebih separuh, iaitu 55% lagi bergantung kepada bahasa badan, mimik muka, gerakan tangan dan kaki serta gerakan badan.
Perasaankah anda apabila berkomunikasi dengan seseorang jika diamati ada perlakuan-perlakuan yang membawa erti tertentu yang perlu untuk kita fahami. Contohnya, apabila kita bercakap dengan seseorang:
Lihat jam di tangan atau di dinding (mungkin kesuntukan masa atau tiada masa untuk melayan anda.)
Mimik muka berkerut, mengerut kening (mungkin dia tidak percaya atau curiga dengan kata-kata kita.)
Menarik nafas dalam, menggeliat ( mungkin dia mula bosan dengan cakap anda.)
Membuat kerja lain ketika anda bercakap (mungkin dia rasakan apa yang anda cakapkan tidak penting atau bosan ataupun sengaja tidak mahu ambil perhatian.)
PENDAPAT:
Bahasa badan sangat penting untuk kita fahami supaya kita mengerti maksud di sebalik bahasa badan tersebut. sebagai seorang yang bakal bergelar guru, bahasa badan harus difahami supaya lebih memahami pelajar kelak.


Saturday 24 March 2012

Situasi 16 ~Transkripsi Dialek Kelantan~


Transkripsi ialah penulisan dalam bentuk lambang-lambang fonetik daripada lambang-lambang tulisan huruf-huruf biasa. Transkripsi juga menurunkan lambang-lambang bunyi sebutan ke dalam bentuk lambang-lambang fonetik yang setepat mungkin mengikut sebutan sebenar penutur satu-satu bahasa. Dalam transkripsi fonetik, satu lambang digunakan untuk mewakili satu bunyi yang diucapkan. Terdapat dua jenis transkripsi, iaitu transkripsi fonetik dan transkripsi fonemik.
Transkripsi fonetik juga dikenali sebagai transkripsi sempit. Dalam transkripsi fonetik atau transkripsi sempit ini, pengkaji cuba memberi lambang fonetik yang setepat-tepatnya dan sedetail-detailnya (sangat terperinci) dengan bunyi yang diucapkan atau tulisan yang dipindahkan ke dalam transkripsi fonetik tersebut. 
Transkripsi fonemik juga disebut transkripsi luas. Transkripsi fonemik mencatatkan bunyi-bunyi bahasa yang diucapkan dengan cara yang lebih luas, iaitu dengan menggunakan fonem-fonem yang terdapat dalam satu-satu bahasa itu secara umum dan mudah. 
Contoh transkripsi fonetik dalam dialek Kelantan:


Dialek Kelantan     Bahasa Melayu
[#bɔ#]                          cukup
[#bε#]                          bang, azan
[#boh#]                        bubuh
[#čε#]                           kenal 
[#čoʔ#]                         batal
[#čɔʔ#]                         cangkul
[#ča# ]                          air kotor/longkang
[#dɔʔ#]                         tidak
[#goʔ#]                         reban
[#lɔʔ#]                          biar
[#no#]                           buai
[#sɔ#]                           satu
[#tε#]                            pukul 
[#waʔ#]                        buat
[#ɔʔ#]                        belukar
[#jɔʔõ#]                       redup (cuaca)
[#uŋa#]                         lari
[#ɔyaʔ#]                     beritahu
[#sɔʔmɔ#]                    selalu

[#mugɔ#]                      benda, makhluk, perkara
[#ugɔh#]                       berubah rupa

PENDAPAT:
Dialek Kelantan banyak mempunyai perkataan yang berbeza dengan perkataan bahasa Melayu standard. Hal ini telah menjadikan dialek Kelantan begitu unik dan istimewa.

Friday 23 March 2012

Situasi 15 ~Bahasa Sindiran~

Eh, awal bangun? kenapa tak sambung tidur lagi? Ayat ini sering kali aku dengar apabila berada di rumah.
Emak aku sering menggunakan ayat ini apabila aku sambung tidur selepas solat subuh. Ayat ini sebenarnya ingin menyindir aku kerana tidur lagi selepas subuh.
Apakah bahasa sindiran? Perkataan yang digunakan untuk mengata, mengejek, mengeji, atau mencela seseorang ialah sindiran. Sindiran dilakukan tanpa berterus-terang. Bahasa sindiran mengandungi maksud yang ditujukan kepada seseorang, tetapi tidak disebutkan secara tepat, hanya disinggung atau dikias-kias kepada perkara yang lain. Sekiranya orang yang disindir itu mengerti, maksud sindiran itu dapat dirasakannya, seperti kata peribahasa Melayu, Siapa makan cili dialalah terasa pedasnya.
Perkataan yang berlandaskan sindiran lebih tajam dan lebih pedih kesannya, tetapi kadang-kadang, bahasa sindiran itu tidak pula memberikan apa-apa makna kepada orang yang disindir. Namun, orang yang disindir biasanya akan terasa dengan sindiran yang ditujukan kepadanya itu.
Contoh bahasa sindiran:
Hai, sekejap sahaja sudah berhenti? (sindiran ini ditujukan kepada seseorang yang cepat letih dan berhenti daripada melakukan sesuatu pekerjaan)
Nampaknya, mendung sahaja hari ini, barangkali hendak hujan! (ditujukan kepada orang yang berwajah muram  atau masam sahaja)
Bahasa sindiran juga dapat dilihat dalam ungkapan berangkap, khususnya dalam bentuk pantun. Contohnya:
Puas sudah saya menanam padi,
Nanas juga ditanam orang,
Puas sudah saya menanam budi,
Emas juga dipandang orang.
(sindiran sebagai gambaran rasa kecewa seseorang kepada orang yang tidak mengenang budi dan jasanya. Setiap budi yang ditaburkannya tidak dikenang oleh orang lain).


PENDAPAT:
Sifat tidak suka berterus-terang menjadi amalan biasa dalam masyarakat orang Melayu kerana berpegang kuat pada prinsip menjaga hati orang lain. Oleh sebab itu, mereka menggunakan bahasa sindiran untuk menyatakan sesuatu yang terbuku di hati atau melepaskan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu yang tidak menyenangkan. Perkara seperti ini dilakukan secara tidak berterus-terang dan penuh hormat. Sindiran dapat memainkan peranannya yang tersendiri dalam menyedarkan orang yang disindir itu dengan menggunakan susun kata yang teratur serta bahasa yang beragam.






Wednesday 21 March 2012

Situasi 14 ~Diterangkan Menerangkan~

Banyak restoran-restoran yang menggunakan papan tanda seperti di atas. Selalu kita terjumpa di kedai-kedai yang meletakkan nama dahulu sebelum restoran seperti di atas, SZ Restoran. Apa yang salah pada papan tanda tersebut?
Untuk memastikan bahawa binaan frasa nama adalah betul, kita hendaklah menyusunnya secara "hal yang hendak diterangkan" (inti atau fokus) mendahului "hal yang menerangkan" (penerang atau cerita). Susunan ini dikenali sebagai Hukum D-M, yang bermaksud "diterangkan dan menerangkan", iaitu D= diterangkan, dan M= menerangkan.
Sekiranya susunan itu terbalik, binaan frasa tersebut dianggap tidak tepat. Contoh penggunaan yang salah adalah seperti, goreng pisang dan cili sos. Kita tidak makan goreng, tetapi makan pisang. Kita tidak menggunakan cili, tetapi menggunakan sos. Perkataan goreng dan cili hanyalah penerang jenis bagi pisang dan sos. Oleh itu, kita makan pisang goreng (pisang yang digoreng), dan menggunakan sos cili (sos yang dibuat daripada campuran cili).
Demikian juga halnya dengan SZ Restoran tadi, untuk makan kita pergi ke restoran bukan ke SZ. SZ hanya penerang bagi nama restoran  dan bentuk yang betul ialah Restoran SZ.
Walaupun begitu, terdapat beberapa frasa yang digunakan bertentangan dengan hukum D-M. Hal ini dianggap kecualian.

PENDAPAT:
Ramai yang masih tidak dapat menggunakan hukum D-M dengan betul. Sikap saling tidak endah apabila melihat sesuatu kesalahan yang dilakukan membuatkan masalah ini berterusan sampai sekarang.

Friday 16 March 2012

Situasi 13 ~Baru dan Baharu~

Semalam kawan aku menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) untuk bertanya khabar. Semasa sedang berSMS, dia memberitahu sedang musykil dengan ayat 'baru' dan 'baharu' serta ingin mengetahui perbezaan perkataan tersebut.
Isu penggunaan kedua-dua perkataan itu sebenarnya sudah bermula sejak tahun 2007. Mulai awal tahun itu, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) menggunakan perkataan 'baharu' menggantikan perkataan 'baru'. 
Terdapat dua konteks jawapan yang dapat diberikan untuk menjelaskna penggunaan dua kata tersebut. Pertama, konteks penggunaan umum, iaitu digunakan oleh pengguna biasa. Berdasarkan konteks ini, 'baru' dan 'baharu' tidaklah mempunyai perbezaan, dan boleh digunakan secara berganti. Inilah jawapan Encik Sallehudin Abang Shokeran. Kamus Dewan edisi keempat pada halaman 103, memberi makna 'baharu' sebagai 'baru', dan pada halaman 131, makna 'baru' ialah "belum (tidak) ada sebelumnya". Jelasnya, mengikut definisi konteks ini, 'baru' dan 'baharu' merupakan kepelbagaian atau variasi, dan boleh digunakan kedua-duanya. Penggunaannya untuk menunjukkan sifat masa.

Kedua, mengikut konteks linguistik atau ilmu bahasa. Sekiranya diteliti mengikut fungsi linguistik, penggunaannya berbeza walaupun masih memperlihatkan ciri waktu, iaitu "tidak lama". Mengikut aspek tatabahasa, 'baru' berfungsi sebagai kata bantu kepada kata kerja, iaitu perkataan yang menjelaskan masa berlakunya sesuatu perkataan. Perkataan ini digunakan sebelum kata kerja atau perbuatan. Contohnya: baru makan, baru pulang dan sebagainya.
Perkataan 'baharu' pula berfungsi sebagai kata adjektif kepada kata nama, iaitu perkataan yang menyatakan sifat bagi sesuatu, sama ada orang, binatang, benda, alat, negeri, hal, dan sebagainya. Perkataan ini digunakan selepas nama sesuatu tadi. Contohnya: kereta baharu, perjanjian baharu dan lain-lain.
Oleh sebab fungsinya berbeza, kedua-dua perkataan itu sewajarnya tidak digunakan secara bertukar ganti seperti yang berikut: baharu makan, baharu pulang, kereta baru, perjanjian baru dan sebagainya.
Penggunaan mengikut konteks yang kedua dianggap lebih tepat, lebih-lebih lagi jika digunakan dalam urusan rasmi, seperti dalam karangan, laporan, minit mesyuarat, dan sebagainya. Perkataan 'baharu' bukanlah korpus yang baru diperkenalkan, kerana perkataan itu sangat aktif digunakan dalam tulisan pada tahun 1930-an hingga 1950-an dahulu lagi. (sumber:Dermaga=BM1=STPM)



PENDAPAT: 
Perkataan 'baru' dan 'baharu' sememangnya boleh menimbulkan kekeliruan dan tidak dapat dibezakan yang mana harus digunakan dalam ayat. Hal ini menyebabkan ramai pengguna yang membuat kesilapan kerana menganggap kedua-dua perkataan tersebut adalah sama.

Situasi 12 ~Bahasa Rojak~


Sebagaimana popularnya rojak sebagai makanan kegemaran ramai, begitulah juga popularnya bahasa rojak. Kenapa diberikan bahasa rojak? Istilah ini diwujudkan kerana adanya fenomena bahasa yang bercampur, antara bahasa Melayu dengan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris. Mereka mengaitkan sesuatu yang bercampur-campur itu sebagai rojak kerana rojak merupakan makanan daripada bahan yang bercampur-campur. Penggunaan bahasa rojak dalam urusan tidak rasmi seperti berbual, bergurau senda, dan lain-lain masih boleh diterima, namun apabila bahasa rojak sudah digunakan dalam urusan rasmi seperti mesyuarat, ucapan, penyiaran, dan sebagainya maka terjejaslah budaya berbahasa yang sihat.
Bahasa rojak merupakan suatu percakapan yang menakrifkan campuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan.
Hari ini aku membincangkan mengenai bahasa rojak kerana pagi tadi terjumpa video berkaitan bahasa rojak. Jadi, aku rasa ingin berkongsi dengan rakan-rakan.




PENDAPAT:
Apabila adab berbahasa tidak dijaga, akhirnya yang terhasil ialah bahasa Melayu yang kehilangan sifat dan nilai rasminya, seolah-olah bahasa Melayu hanya bahasa perbualan, bahasa gurau-senda, dan bahasa untuk berjual beli di pasar sahaja. Hakikatnya, bahasa Melayu ialah bahasa ilmu, bahasa pemikiran, bahasa undang-undang, bahasa sains, bahasa budaya tinggi dan sebagainya. Oleh sebab itulah, ia harus dipelihara serta diperkukuh ragam bahasa tingginya itu.

Thursday 15 March 2012

Situasi 11 ~Kat~

Dalam kelas Projek Tahun Akhir tadi, sekali lagi Encik Razali telah menegur kami mengenai penggunaan bahasa yang tidak betul. Sakit telinga katanya apabila mendengar kami bercakap atau semasa kami membuat pengajaran mikro. Hal ini kerana kami tidak menggunakan bahasa Melayu standard semasa berbicara dengan rakan dan terbawa-bawa ketika membuat pembentangan. Encik Razali sudah banyak kali menegur kami mengenai penggunaan kata 'kat'. Antara ayat yang selalu digunakan ialah:
kat mana?
kamu semua boleh tengok kat sini.
Seharusnya ayat yang betul ialah:
Di mana?
Kamu semua boleh tengok di sini.


PENDAPAT:
Kesalahan ini berlaku disebabkan kita jarang berkomunikasi dalam bahasa standard. Kita lebih senang menggunakan dialek untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan. Hal ini mengakibatkan kita terbawa-bawa sehingga di dalam kuliah dan ketika melakukan pembentangan. Tidak mustahil kita akan terbawa-bawa ketika mengajar nanti.

Wednesday 14 March 2012

Situasi 10 ~Cara Bertanya~

Selepas habis kelas Penaksiran (KPD), aku dan beberapa orang rakan berjalan untuk pulang ke rumah. Ketika kami sedang berjalan, datang seorang perempuan yang berusia lebih kurang dengan usia kami menyapa. Antara perbualannya:

Dia: tempat letak bas banyak-banyak kat mana?
kami: nak pergi Taman Bernam?
Dia: tak la, nak pergi tempat letak bas banyak-banyak tu.
kami: banyak tempat letak bas banyak-banyak ni.
Dia: tempat letak bas banyak-banyak tu.
kami: kat sebelah sana.
Dia: terima kasih ye..(sambil beredar)
kami: banyak tempat bas banyak-banyak..kat luar banyak, sebelah sana banyak..(keliru)

PENDAPAT:
Cara bertanya yang tidak jelas dan tepat boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang yang ditanya. Hal ini juga boleh mengakibatkan kesalahan memberi maklumat kerana tersalah mentafsir soalan. Oleh itu, semasa ingin bertanya, pastikan soalan yang diajukan tepat dan orang boleh memahami dengan jelas.

Tuesday 13 March 2012

Situasi 9 ~Bahasa Nenek Moyang~

Pesan orang tua-tua dahulu jaga tutur kata dan tingkah laku supaya dihormati orang lain. Bahasa yang digunakan sangat penting agar tidak mengguris hati sesiapa. Hal ini dapat dilihat melalui pantun-pantun yang telah dicipta. Contohnya:
Anak ayam di atas pagar,
Turun ke tanah memakan padi,
kalau hutang wajib dibayar,
Kalau janji wajib ditepati.
Orang yang mendengar pastinya tidak akan terguris hati kerana bahasa yang lembut dah halus digunakan. Bahasa yang digunakan juga menunjukkan akhlak seseorang. Elok bahasa eloklah akhlaknya.  Penggunaan bahasa halus sangat ditekankan oleh orang-orang tua dahulu. Antara bahasa halus yang digunakan:
mati-meninggal dunia  
mengandung-berbadan dua
Bahasa halus ialah penggunaan bahasa yang beradat dan bersopan serta menggunakan segala strategi untuk kemanisan berbicara. Menurut Fries, 85% daripada bahasa yang wujud adalah dalam bentuk pertuturan sementara bentuk penulisan dianggap sebagai secondary languange (bahasa sekunder). Oleh itu, kebolehan menggunakan bahasa halus dalam pertuturan lisan dianggap sebagai suatu kemahiran penting dalam adat resam.
Kegagalan masyarakat dewasa ini dalam mempraktikkan penggunaan bahasa halus sedikit sebanyak telah menyumbang ke arah wujudnya budaya lisan yang biadab dan timbulnya pelbagai bentuk budaya sosial. Akhir-akhir ini, kita sering mendengar anak-anak dapat mengutarakan isi hati mereka secara terbuka, kasar serta tanpa segan-silu lagi.
Masyarakat Melayu yang dahulunya terkenal dari segi kehalusan budi bahasanya kini mengalami suasana 'gawat' daripada segi sopan santun. Bukankah kita sering berkata, "Hilang Bahasa Lenyaplah Bangsa". Dalam ideologi nasional kita juga menetapkan 'Kesopanan dan Kesusilaan' sebagai Rukun Negara yang kelima yang tentu sahaja bertujuan mengangkat jati diri bangsa. Sekiranya bahasa halus terus diamalkan, tentu sahaja kita boleh lagi berbangga dengan ideologi nasional itu pada masa depan.

PENDAPAT:
Penyusutan bahasa halus dalam kalangan penutur bahasa Melayu sebenarnya memberi implikasi yang serius dalam hubungan sosial dalam masyarakat. Nilai berbudaya tinggi diukur melalui sopan dan halusnya bahasa bukan sahaja melalui material atau tahap pendidikan.





Monday 12 March 2012

Situasi 8 ~Bahasa Kita~

Masyarakat kita sekarang semakin pelik. Kenapa aku cakap begitu? Hal ini kerana, ramai masyarakat kita yang malu untuk berkata-kata dalam bahasa Melayu, namun begitu bangga apabila menggunakan bahasa lain. Adakah dengan berbahasa Melayu akan hilang kemodenan diri? 
Apakah kemodenan pada diri seseorang? Pakaian yang bukan keMelayuan? Gaya hidup yang bukan keMelayuan? Bahasa yang bukan Melayu? Sebenarnya persepsi masyarakat kita yang menganggap kemodenan itu bukan keMelayuan tapi keBaratan.
Tengoklah anak-anak muda sekarang yang rata-ratanya meniru semua cara dari barat, tidak kira dari segi bahasa, pakaian, budaya dan sebagainya. Mereka begitu bangga apabila dikatakan menyerupai masyarakat barat tanpa sedikit pun rasa malu. 
Bahasa Melayu semakin terpinggir apabila semakin banyak sektor-sektor kerajaan yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris. Kerajaan yang sepatutnya berperanan untuk memartabatkan bahasa Melayu namun lebih mengutamakan bahasa asing. Sikap pemimpin-pemimpin yang lebih gemar berbahasa Inggeris apabila bertutur lebih mengeruhkan keadaan. Sepatutnya, pemimpinlah yang perlu memberi contoh berbahasa Melayu bukannya lebih menggalakkan menggunakan bahasa Inggeris.
Ada satu kisah di mana berlaku satu mesyuarat antara orang Melayu dengan orang Jepun. Dalam mesyuarat tersebut, orang Melayu membentangkan kertas kerja dalam bahasa Inggeris dengan megahnya. Sampai giliran orang Jepun, dia membentangkan kertas kerja dalam bahasa Melayu dengan begitu fasih. Apakah perasaan kamu jika berada di tempat orang Melayu tersebut? Tidakkah terasa malu dengan orang orang Jepun itu? Bangsa lain begitu bangga bertutur menggunakan bahasa Melayu, namun kita begitu malu untuk menggunakannya.
Adakah bahasa Melayu kolot? Jika kolot, sudah lama ianya terkubur seperti bahasa Sanskrit. Namun, bahasa Melayu tetap kekal hidup walaupun bukan lagi sebagai 'lingua franca' seperti dahulu.

PENDAPAT:
Tidak salah untuk kita menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa asing yang lain, namun bahasa kebangsaan jangan dipinggirkan. Utamakan bahasa kebangsaan kita. Jangan kerana begitu bangga dengan bahasa asing, bahasa kita musnah. Masyarakat Jepun yang mengutamakan bahasanya boleh menjadi negara maju, kenapa tidak kita?
Jaga bicara, sayang bahasa..
Jaga maruah, sayang bangsa...


Saturday 10 March 2012

Situasi 7 ~Kesalahan Ejaan Pada Papan Tanda~

Papan tanda boleh dijumpai di mana-mana sahaja tempat kita pergi sama ada untuk pengiklanan, kempen dan sebagainya. Namun, apa yang menjadi isu pada hari ini ialah kesalahan ejaan pada papan tanda. Berikut merupakan antara kesilapan yang ditemui:
Melihat pada iklan di atas mungkin ada yang salah faham maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh pengiklan. "Penjual gadis" membawa maksud yang tidak sedap didengar dan boleh memberi tanggapan yang negatif. Sebetulnya, jurujual wanita bukannya penjual gadis.
Gambar ini pula menunjukkan kesalahan ejaan 'kerbersihan' yang sepatutnya "kebersihan". Kesalahan yang dilakukan ini sama ada dilakukan secara sedar atau tidak atau sememangnya pihak berkenaan tidak mengetahui ejaan sebetulnya.
"Jualan dilarang masuk" seharusnya "jurujual dilarang masuk".

PENDAPAT:
Kesalahan ejaan pada papan tanda boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat. Hal ini jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan masyarakat sudah tidak tahu ejaan yang mana satu betul dan salah. Usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu juga tidak akan berjaya kerana di papan tanda pun masih ada kesalahan yang dilakukan apatah lagi penggunaan bahasa Melayu di tempat lain.

Situasi 6 ~ Ke Mana Hilangnya Kesantunan Bahasa~

Kadang-kadang kita tidak menyedari benda yang kita katakan telah menyakiti orang di sekeliling, sama ada keluarga, kawan, jiran dan sebagainya. Manusia sememangnya tidak lepas daripada melakukan kesalahan. Seiring dengan kemajuan teknologi sekarang, kebanyakan masyarakat kita mempunyai facebook, twitter, dan laman sosial yang lain untuk mengikuti arus peredaran zaman. Tidak kira golongan kanak-kanak, remaja, dewasa malahan golongan tua sekali pun mengikuti arus perkembangan ini.
Namun, apa yang menjadi ikutan sekarang ialah meluahkan perasaan di laman sosial masing-masing sehingga menimbulkan perasaan kurang senang pihak lain dan seterusnya menjadi perselisihan faham. Sindir-menyindir, mengata, maki-hamun, dan sebagainya semuanya diluahkan di laman sosial ini. 
Sebenarnya aku ingin kongsikan apa yang aku lihat tadi semasa sedang melayari laman sosial facebook. Bahasa yang digunakan sangat tidak sesuai tambahan jika seorang yang berpelajaran tinggi. Inilah bahasa yang digunakan oleh hamba Allah tersebut:
"wei, kalau dah bodoh tu,bodoh la jugak! Jangan nak berlagak pandai pulak...dah la muka macam longkang, perangai mengalahkan setan....pergi mampus la kau!!!!!!!"


PENDAPAT:
Penggunaan bahasa sebegini sebenarnya akan merosakkan generasi muda dan sudah tentulah akan menghilangkan kesantunan berbahasa dalam masyarakat kita.

         "Diam Itu Lebih Baik dari Berkata-kata"


Friday 9 March 2012

Situasi 5 ~Dialek Berbeza Maksud Berbeza~

Lain negeri lain dialeknya. Setiap negeri ada dialek masing-masing. Setiap dialek pula mempunyai maksud yang berbeza. Kadang-kadang apa yang ingin kita sampaikan boleh disalah ertikan oleh pendengar yang berbeza dialeknya. Keadaan ini sudah tentu akan menimbulkan masalah kepada penutur dan pendengar. Situasi ini juga boleh berlaku kepada diri anda. Ada beberapa cerita yang ingin saya kongsikan, mungkin ada yang pernah mendengar dan mungkin belum pernah mendengar.

Cerita1
Mak mertua: Man, mari la menyoghok.
Man: Menyorok apanya pagi-pagi ni mak?(buang tabiat ke orang tua ni)
Mak mertua: Dah namanya menyoghok mesti la pagi tak kan petang pula.
Man: tak nak la mak main pagi-pagi ni.
Mak mertua: haishh, budak ni main apa ke bendanya?
Man: menyorok la mak. (buat-buat tanya pulak)
Mak mertua: menyoghok itu makan pagi la!!!!
Man: oh....hehe


Cerita 2
Azhar: Ular Faiz, ular...
Faiz: katok la!
Azhar: Ular la ni bukan katak!
Faiz: katok la wei!
*katok=pukul


Cerita 1 dan cerita 2 merupakan contoh yang boleh terjadi kepada penutur dan pendengar akibat daripada dialek yang berbeza.

PENDAPAT:
Tidak salah untuk kita menggunakan dialek, namun apabila bertutur dengan orang yang berlainan negeri, seeloknya kita menggunakan bahasa Melayu standard agar tidak berlaku salah faham yang mungkin juga boleh menimbulkan konflik.



Thursday 8 March 2012

Situasi 4 ~Bahasa Basahan~

Pagi ini bangun saja terus sambung baca novel yang belum siap dibaca semalam. Aku memang gemar baca novel jika ada masa lapang namun disebabkan kekangan masa sekarang, pergi kuliah, buat tugasan dan sebagainya, minat tersebut kurang dilakukan.
                             

                       Inilah novel yang telah aku baca pagi tadi...

Dalam novel ini, banyak bahasa basahan telah digunakan oleh penulis. Antaranya:
"lawak apa pulak, kan elok kalau kau mula berfikir pasal masa depan kau dengan dia? Korangkan dah jadi suami isteri...."
 "Dia tu low class kau tau tak?" 
"Aik?Jebon mana pulak la panjat tingkap rumah aku ni?" 
"la, rupanya jebon peliharaan aku yang buat kerja panjat-memanjat ni..."

Bahasa bahasan ialah bahasa yang dipertuturkan dalam konteks urusan sehari-hari. Za'ba menggunakan istilah bahasa cakap mulut untuk menjelaskan bahasa bahasan ini. Disebabkan sifatnya yang tidak formal, maka bahasa bahasan yang digunakan banyak dipengaruhi bahasa-bahasa daerah. Bahasa basahan ini juga ditandai dengan struktur ayat yang lebih pendek, umpamanya, kamu hendak ke mana akan menjadi, nak ke mana?

PENDAPAT:
Penggunaan bahasa basahan dalam novel sememangnya sudah tidak dapat dielakkan lagi, namun penggunaan ini akan menimbulkan kesan kepada pembaca terutamanya golongan remaja. Hal ini mungkin akan terbawa-bawa dalam penulisan mereka di sekolah nanti.






Wednesday 7 March 2012

Situasi 3 ~Bahasa Remaja Sekarang~

Assalamuaikum...

Ketika aku sedang asyik melayan laman muka buku (facebook), seorang remaja lebih kurang umur 15 tahun menegur aku di ruangan 'chatting'.

Mira: Akak ngah wat pew ter?busy kew?

Aku: layan fb mira.

Mira: xdew kijew kew? mira bowrink r kak. xdew nk uat pew pun...

Beginilah bahasa yang digunakan oleh remaja sekarang ketika berbicara dan menulis, iaitu menggunakan bahasa  slanga.


Kadang-kadang perkara yang hendak disampaikan kepada kita sukar untuk difahami kerana menggunakan slanga. Di bawah ini saya jelaskan serba sedikit maksud slanga:

Slanga ialah kata-kata yang tidak tergolong dalam bahasa baku, sering digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial tertentu untuk berkomunikasi sesama mereka. Bahasa slangan boleh jadi perkataan baru yang dicipta atau perkataan lama yang diperbaharui dengan penambahan huruf tertentu bagi memberi satu dimensi baru kepada bahasa itu. Contohnya, caye (percaya), camni (macam ini), xdew (tidak ada) dan sebagainya.
 Contoh penggunaan bahasa slanga dalam penulisan


PENDAPAT:                        
Bahasa slanga jika tidak dibendung akan memudaratkan pengguna dan nilai bahasa itu sendiri. Tindakan para pengguna e-mel khususnya remaja, pasti akan menjadi satu kebiasaan sehingga terbawa-bawa kepada perbualan atau penulisan di luar alam siber. Sesuatu yang amat dibimbangi ialah penyelewangan bahasa semakin berleluasa apabila penggunaan istilah ini digunakan dalam perbualan sesama teman atau guru. Sekiranya kita menerima kebiasaan ini bagi penggunaan di alam realiti maka akan lenyap bahasa Melayu yang gramatis. 









Tuesday 6 March 2012

Situasi 2 ~Panggilan Sapaan~


Ada satu kejadian yang berlaku di mana pelajar yang ingin bertanyakan tempat kepada pensyarah yang berstatus doktor telah memanggil pensyarah tersebut dengan gelaran 'Pak cik'. Alangkah sedihnya pensyarah tersebut bukan kerana tidak dipanggil doktor namun dipanggil 'Pak cik'. Jika kita berada di tempat pensyarah tersebut juga akan terasa kecil hati apatah lagi pelajar sendiri memanggil dengan gelaran pak cik bukannya orang yang berjumpa di tepi jalan.

Walaupun kita tidak mengetahui status beliau yang bergelar doktor namun lebih baik sekiranya kita menggunakan sistem sapaan yang betul seperti 'encik'. Lebih sedap didengar dan lebih menghormati orang yang kita tidak tahu status yang dimilikinya. Berhati-hatilah ketika menggunakan panggilan sapaan supaya yang mendengar tidak berkecil hati dengan kita. Hormatilah orang lain.

Malu sekiranya pelajar universiti tidak tahu menggunakan panggilan sapaan dengan betul tambahan lagi jika pelajar major Bahasa Melayu.
Sistem sapaan atau panggilan melibatkan penggabungan gelaran, rujukan hormat dan ganti nama. Penggunaan kosa kata dan ganti nama diberi perhatian khusus agar sesuai dengan kedudukan, pangkat, umur, dan keakraban hubungan.  

PENDAPAT:
Hari ini, panggilan sapaan sudah tidak digunakan dengan betul dan masyarakat sudah tidak tahu untuk menggunakan panggilan sapaan tersebut. Hal ini bukan sahaja terjadi kepada orang yang tidak mempunyai pelajaran yang tinggi malahan kepada orang yang mempunyai pelajaran yang tinggi. Perkara ini terjadi akibat daripada kurangnya ilmu dan hilangnya kesantunan berbahasa masyarakat pada hari ini. Sikap saling hormat-menghormati jarang-jarang dapat dilihat dalam masyarakat kita sekarang terutama golongan remaja.


                     Hormati Orang lain supaya diri kita juga dihormati