Semasa pembentangan berlangsung pada hari rabu lepas, aku perasan satu perkataan, iaitu 'pengantar' dan 'penghantar'. Ada kumpulan yang menggunakan 'penghantar' dan kebanyakan kumpulan menggunakan 'pengantar'. Keadaan ini telah menyebabkan aku keliru. 'Pengantar' atau 'penghantar'?
Menurut Awang Sariyan, kata pengantar diterbitkan daripada kata 'hantar' seperti yang dihuraikan dalam kamus. Ke manakah hilangnya 'h' sehingga 'hantar' menjadi 'antar'? Apakah proses morfologi yang berlaku?
Awang Sariyan telah menyatakan pendapat bahawa, beliau telah berpegang pada bentuk 'kata penghantar' sebagai bentuk yang tepat. Kehilangan 'h' dijelaskan oleh sesetengah ahli bahasa di Indonesia sebagai proses 'aus bahasa', iaitu pengguguran unsur tertentu (dalam hal ini bunyi/ huruf 'h'). Tetapi proses aus bahasa itu berlaku dalam bahasa lisan.
Menurut Awang Sariyan lagi, dalam Penyata Razak 1956, iaitu penyata pendidikan yang kemudian menjadi asas Akta Pendidikan 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996, ada penggunaan 'bahasa penghantar' untuk padanan 'medium of instruction' dan itulah bentuk yang tepat.
Orang pada waktu itu masih mempertahankan huurf 'h' tetapi kerana kurang peduli tentang bahasa yang baku, maka lama-kelamaan huruf itu mengalami aus bahasa dalam pertuturan, dan kemudian melarat pula dalam bahasa tulisan.
SUMBER: Kembara Bahasa
PENDAPAT:
Ramai yang sudah tidak tahu perkataan mana yang betul dan perkataan mana yang salah. Jika ramai yang menggunakan perkataan tersebut, kita akan menganggap perkataan tersebut betul dan tidak berusaha untuk membuktikan kesahihannya.
No comments:
Post a Comment