Saturday 2 June 2012

~Daftar Kata~

Tugasan kali ini berkaitan dengan daftar kata yang berkaitan dengan Sosiolinguistik. Di bawah ini saya nyatakan  serba sedikit.

Sosiolinguistik:
kajian tentang bahasa yang berkaitan dengan masyarakat (dalam konteks sosial dan budaya)

Setia Bahasa:
Sikap penutur yang positif terhadap sesuatu bahasa dan yakin terhadap kemampuan bahasa berkenaan sebagai alat pemikiran dan komunikasi.

Ragam Bahasa:
Beberapa jenis bahasa khas yang digunakan dalam penulisan atau pertuturan untuk menguatkan tujuan kata dan mempertajam hasilnya kepada kefahaman pendengar dan pembaca.

Multilingualisme:
Seorang penutur dapat menguasai lebih daripada dua bahasa dalam satu masa.

Bilingualisme:
Seseorang penutur mengetahui dan menguasai dua bahasa dan menggunakan kedua-duanya dalam kehidupan seharian.

Diglosia:
Penggunaan dua bahasa yang berlainan, iaitu satu bahasa yang tinggi dan bersifat formal dan satu bahasa lagi rendah tarafnya dan tidak rasmi. Contohnya, Bahasa Melayu baku dengan dialek.

Poliglosia:
Wujud dalam suasana kepelbagaian bahasa, dialek atau laras bahasa yang kedudukan pelbagai.

Bahasa Eksklusif:
Bahasa yang digunakan dalam kelompok tertentu.

Bahasa Insklusif:
Bahasa yang ditempatkan di atas sesebuah bahasa atau beberapa jenis bahasa yang sedia ada.

Bahasa Pijin:
Bahasa campuran antara dua atau lebih bahasa


Thursday 3 May 2012

Situasi 40 ~Surat Khabar~

Status ini merupakan status terakhir saya untuk tugasan Sosiolingusitik. Hari ini saya ingin membicarakan tentang media massa, iaitu surat khabar. Surat khabar di Malaysia sekarang sudah tidak banyak atau boleh dikatakan tiada maklumat ilmiah namun lebih kepada politik. Setiap hari kita dihidangkan dengan berita-berita mengenai politik. Semalam saya terkejut apabila membaca akhbar secara atas talian mengenai berita yang tidak sepatutnya disiarkan, iaitu menyiarkan berita dan gambar video lucah seorang ahli politik.


PENDAPAT:
Seharusnya, berita yang disiarkan harus ditapis kerana semua golongan membaca akhbar dan hal ini boleh merosakkan pemikiran kanak-kanak apabila melihat dan membaca akhbar berbaur lucah begitu. Jika betul sekali pun berita tersebut, janganlah sampai menunjukkan gambar yang sebegitu rupa.

Tuesday 1 May 2012

Situasi 39 ~Moden VS Tradisional

Semasa sedang melayari internet, aku terjumpa peribahasa-peribahasa lama yang telah dimodenkan. Di bawah ini terdapat beberapa contoh peribahasa moden itu:

  • kecil tapak tangan, tapak sulaiman saya tadahkan
  • ke mana tidak tumpahnya kuah, kalau tidak ke bawah
  • biar putih tulang, jangan kuning gigi
  • carik-carik bulu ayam, lama-lama jadi 'shuttlecock'
  • alang-alang mandi biar guna sabun
  • berani kerana benar, takut kerana penakut
  • diam-diam ubi berisi, diam-diam orang bisu
  • hidup segan mati ditanam
PENDAPAT:
Perubahan yang dilakukan oleh masyarakat kita sekarang terhadap peribahasa dahulu telah mengubah makna dan menyebabkan keindahan peribahasa tersebut hilang. Masyarakat kita hanya mengubah sesuka hati dan menyebabkan kerosakan bahasa.


Situasi 38 ~Pengantar atau Penghantar

Semasa pembentangan berlangsung pada hari rabu lepas, aku perasan satu perkataan, iaitu 'pengantar' dan 'penghantar'. Ada kumpulan yang menggunakan 'penghantar' dan kebanyakan kumpulan menggunakan 'pengantar'. Keadaan ini telah menyebabkan aku keliru. 'Pengantar' atau 'penghantar'?
Menurut Awang Sariyan, kata pengantar diterbitkan daripada kata 'hantar' seperti yang dihuraikan dalam kamus. Ke manakah hilangnya 'h' sehingga 'hantar' menjadi 'antar'? Apakah proses morfologi yang berlaku?
Awang Sariyan telah menyatakan pendapat bahawa, beliau telah berpegang pada bentuk 'kata penghantar' sebagai bentuk yang tepat. Kehilangan 'h' dijelaskan oleh sesetengah ahli bahasa di Indonesia sebagai proses 'aus bahasa', iaitu pengguguran unsur tertentu (dalam hal ini bunyi/ huruf 'h'). Tetapi proses aus bahasa itu berlaku dalam bahasa lisan.
Menurut Awang Sariyan lagi, dalam Penyata Razak 1956, iaitu penyata pendidikan yang kemudian menjadi asas Akta Pendidikan 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996, ada penggunaan 'bahasa penghantar' untuk padanan 'medium of instruction' dan itulah bentuk yang tepat. 
Orang pada waktu itu masih mempertahankan huurf 'h' tetapi kerana kurang peduli tentang bahasa yang baku, maka lama-kelamaan huruf itu mengalami aus bahasa dalam pertuturan, dan kemudian melarat pula dalam bahasa tulisan.

SUMBER: Kembara Bahasa

PENDAPAT:
Ramai yang sudah tidak tahu perkataan mana yang betul dan perkataan mana yang salah. Jika ramai yang menggunakan perkataan tersebut, kita akan menganggap perkataan tersebut betul dan tidak berusaha untuk membuktikan kesahihannya.

Monday 30 April 2012

Situasi 37 ~Bahasa Melayu


Bahasa Melayu merupakan bahasa yang unik. Bahasa ini dikatakan lebih unik daripada bahasa Inggeris yang begitu diagung-agungkan oleh kebanyakan masyarakat kita sekarang. Kita seharusnya berbangga dengan bahasa ibunda kita yang dianugerahkan oleh Allah. mesti kawan-kawan tertanya-tanya kenapa saya mengatakan bahasa Melayu itu unik?
Di sini saya jelaskan sedikit mengapa bahasa Melayu dikatakan unik. Contoh yang saya ambil ialah makanan utama rakyat Malaysia, iaitu beras. Di samping beras, terdapat juga perkataan lain yang hampir sinonim dengan beras seperti nasi, padi, pulut dan sebagainya bagi menjelaskan keadaan dan jenis yang berlainan.
Sebaliknya, jika dilihat dalam bahasa Inggeris, perkataan nasi, beras dan seumpamanya hanya merujuk kepada satu perkataan sahaja, iaitu rice. Hal ini jelas membuktikan bahawa bahasa Melayu jauh lebih unik dan istimewa daripada bahasa-bahasa lain.



PENDAPAT:
Berbanggalah dengan bahasa Melayu kerana ianya mempunyai keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri. "Bahasa Menunjukkan Bangsa."


Situasi 36 ~Perancangan Bahasa~


Menurut Haugen perancangan bahasa ialah usaha-usaha yang dijalankan oleh pertubuhan atau jawatankuasa tertentu untuk penyuburan bahasa. Haugen telah mengemukakan empat peringkat di dalam perancangan bahasa, iaitu pemilihan, pengekodan, pelaksaan dan peluasaan.


  • PEMILIHAN
Peringkat ini melibatkan pemilihan satu bahasa atau beberapa buah bahasa atau norma yang akan dibina untuk tujuan tertentu, selalunya ia adalah bertujuan menjadikan bahasa tersebut mencapai taraf sebagai bahasa rasmi dan menjalankan tugas sebagai bahasa kebangsaan. Norma ialah sesuatu konsep abstrak yang dipilih atau dibentuk sebagai matlamat di dalam perancangan tersebut. sesuatu bahasa baku itu adalah suatu norma yang dijadikan matlamat perancangan bahasa.
  • PENGEKODAN
Pengekodan melibatkan hal-hal dan usaha-usaha di dalam pembakuan bahasa. Unsur-unsur seperti kata, istilah, tatabahasa dan ungkapan-ungkapan tertentu adalah kod-kod bahasa. Usaha pembakuan ialah pengenalpastian kod-kod yang banyak dan menentukan penggunaan satu daripada banyak kelainan kod tersebut atau mewujudkan satu kod baru daripada beberapa dialek yang ada.
  • PELAKSAAN 
Pelaksaan melibatkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh sesuatu agensi, institusi atau individu tertentu di dalam penggunaan norma yang dipilih dan dikodkan tersebut.
  • PELUASAN
Peringkat peluasan berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan bahasa tersebut dari segi bentuk dan fungsinya. Hal ini melibatkan proses pemodenan bahasa itu secara umum.



PENDAPAT:
Perancangan bahasa dibuat untuk membaiki ejaannya, tatabahasanya, istilahnya dan penggunaan bahasa itu secara umumnya untuk menjadi lebih efisien.

Friday 27 April 2012

Situasi 35 ~Lewah~

Sering kali saya terdengar penggunaan bahasa lewah dalam kalangan rakan-rakan dan termasuklah saya sendiri. Contohnya:
"Acu tra test gak baju ni..."
Bahasa lewah merupakan fenomena lazim dalam kalangan masyarakat kita. Lewah terjadi apabila dalam sesebuah pertuturan itu terkandung penggunaan kata yang berlebihan dari keperluannya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 934), lewah ialah berlebih-lebih sehingga tertambah perkara, hal dan sebagainya yang tidak perlu misalnya perkataan yang digunakan dalam ayat.
Kelainan binaan ayat 1 hingga 3 begitu kecil, dan kelihatan tiada cacatnya jika tidak diteliti dan dihalusi. Perhatikan ayat terbitan 1a hingga 3a yang berikut:

1. (a) Saya akan pergi jika sekiranya tuan membenarkannya.
 (ayat asal: Saya akan pergi jika tuan membenarkannya.)

2. (a) Ia tidak pernah datang-datang lagi semenjak dari hari lamarannya dahulu ditolak.
 (ayat asal: Ia tidak pernah datang-datang lagi semenjak hari lamarannya dahulu ditolak)

3. (a) Jikalau sekiranya tuan pergi, saya pun ingin pergi.
 (ayat asal: Jikalau tuan pergi, saya pun ingin pergi)

Kata sekiranya bermaksud kalau, kalau-kalau, seandainya; yakni bersinonim dengan maksud kata jika, jikalau dan kalau. Penggunaan bentuk frasa jika sekiranya, jikalau sekiranya, atau kalau sekiranya dianggap lewah.

PENDAPAT:
Barangkali agak sukar bagi kita untuk mengetahui bahasa lewah, namun dengan adanya kesungguhan tiada yang mustahil di dunia ini. Sebagai pengguna bahasa, kita seharusnya dapat mengenal pasti bentuk-bentuk bahasa yang baku, dan bentuk-bentuk bahasa yang lewah sifatnya supaya apabila berbahasa, kita dapat memilih bentuk yang baku dalam wacana berbahasa rasmi.



Thursday 26 April 2012

Situasi 34 ~ Maksim Kesantunan~

Menurut teori Gu, terdapat empat jenis maksim kesantunan, iaitu:

  • Maksim Denigrasi Diri

Penutur dituntut untuk merendahkan diri dan meninggikan orang. Contohnya, kita dibiasakan untuk selalu menghormati yang lebih tua, ramah dan sebagainya. Hal ini dapat dilihat dengan budaya masyarakat kita sejak dahulu lagi mengajar kita untuk lebih menghormati orang lain.

  • Maksim Sapaan

Menggunakan bentuk sapaan yang sesuai. Contohnya penggunaan kata sapaan seperti mak cik, kakak, abang, encik, cik, puan dan sebagainya dengan orang yang sesuai. Bercakap dengan orang yang lebih tua daripada kita tidak boleh terus memanggil namanya seperti ketika kita bercakap dengan kawan, namun harus menggunakan sapaan yang betul seperti kakak atau mak cik.
  • Maksim Kebijaksaan

Maksim jenis ini merupakan pertimbangan keuntungan nyata pada diri mitra tutur.
  • Maksim Keseimbangan

saling menjaga kesantunan atau pertimbangan keuntungan antara penutur dengan yang lain. Contohnya, apabila seseorang bercakap dengan sopan, maka lawan bicaranya juga harus bertutur dengan sopan.

PENDAPAT:
Secara alamiah, manusia akan berlaku baik jika diperlakukan dengan baik. Sama halnya dengan bertutur kata. Seseorang akan merasa malu jika ternyata lawan bicaranya menggunakan bahasa yang sopan sedangkan dirinya menggunakan bahasa yang kurang sopan.

Wednesday 25 April 2012

Situasi 33 ~Keunikan Dialek Kedah

Setiap dialek mempunyai keunikan, begitu juga dengan dialek Kedah. Oleh kerana saya mempunyai teman sebilik orang Kedah, jadi saya dapat mengetahui serba sedikit mengenai dialek Kedah ini. Di bawah ini saya nyatakan beberapa contoh perkataan dan ayat:
Ghonot- tundukkan badan ketika melalui bawah sesuatu
"hang kena hati-hati sikit ghonot bawah pokok tu, banyak dahan gheput."
Ghona-ghoni: warna-warni
"amboi, cantiknya ghona-ghani baju dia!"
Ghayup: lesap sekelip mata/terlalu laju
"Ish, puak ni bawak mutu menghayup nak mampuih!"
Nyuloq: jatuh tersembam
"haa, baru dia ada akai, kena taboh sampai menyuloq...kahaq sangat!
Taboh: kena belasah
"Dengaq kata hang kena taboh dek Mat Rosli semalam?"
Geghek: basikal
"Setiap pagi Zain kayuh geghek ke tempat gheja."
Mod: bawak pembonceng/penumpang
"Jat dok mod Nuri pi mana tu? Sakan depa no..."
Segan: malas
"hang ni Milah asyik segan kalau mak suruh buat gheja!"

PENDAPAT:
Sebenarnya agak susah untuk memahami dialek Kedah jika kita jarang mendengarnya. Namun, jika kita selalu mendengarnya, ia akan mudah difahami dan kita akan seronok untuk mempelajarinya, bak kata pepatah, "tak kenal maka tak cinta".

Tuesday 24 April 2012

Situasi 32 ~Bahasa Arkaik~


Bahasa Arkaik ialah perkataan lama yang sudah jarang dipakai atau sudah kuno dan mati. Pada masa kini, bahasa Arkaik ini sudah jarang digunakan atau tidak digunakan lagi. Hal ini mungkin disebabkan penggunaannya sudah tidak gramatis dalam ayat kerana bahasa telah mengalami perubahan mengikut peredaran zaman. Contoh bahasa Arkaik ialah:
                      hatta, maka, diceterakan, arkian, syahadan, seraya dan sebagainya
Sebenarnya, saya tergerak hati untuk menulis mengenai bahasa Arkaik ini kerana ketika saya membaca teks KOMSAS tingkatan lima yang bertajuk Dirgahayu Bahasaku di bahagian prosa tradisional yang bertajuk Dua Geliga Hikmat karya Ali Haji Ahmad saya terjumpa bahasa Arkaik ini.
Sesuai dengan bahagian cerita tersebut yang terdapat pada bahagian prosa tradisional, maka ayat dan perkataan yang digunakan juga perkataan dahulu kala atau lebih dikenali dengan bahasa Arkaik. Perkataan Arkaik ini bersinonim dengan perkataan kuno, usang, lama, purba, silam dan primitif. Contoh petikan:
 "Alkisah peri mengatakan tatkala Inderaputera beroleh hikmat, dan peri mengatakan tatkala Inderaputra melihat kesaktian Raja Dewa Lela Mengema."

PENDAPAT:
Wujudnya bahasa Arkaik ini sebenarnya merupakan satu kerugian dalam dunia bahasa Melayu sendiri kerana telah mengabaikan bahasa yang digunakan nenek moyang kita pada zaman dahulu. Seharusnya, kita mengekalkan bahasa ini agar bahasa ini dapat diturunkan kepada generasi akan datang.


Monday 23 April 2012

Situasi 31 ~Kesantunan Bahasa~

Pada minggu lepas, telah diadakan pembentangan drama yang telah dirakam mengikut kumpulan masing-masing. Setiap kumpulan diberi pilihan sama ada untuk memilih tema kesantunan bahasa atau ketidak santunan bahasa. Sebagaimana yang telah diduga, kebanyakan kumpulan telah memilih tema ketidak santunan bahasa kerana situasi ini banyak berlaku dalam kalangan masyarakat sekarang. 
Hari ini saya tidak berniat untuk mengulas tentang drama yang telah dibentangkan, namun ingin membincangkan aspek kesantunan bahasa menurut pandangan tokoh, Ervin Tripp. Menurut Ervin Tripp, terdapat tiga rumus sistem sapaan, iaitu rumus alternasi, rumus kejadian bersama dan rumus dan rumus perurutan. Di bawah ini saya terangkan serba sedikit ketiga-tiga rumus tersebut:

RUMUS ALTERNASI
Rumus yang menggunakan kaedah yang berkaitan dengan cara seseorang berkomunikasi. Faktor yang mempengaruhinya ialah:

  • pangkat- merujuk kepada tatatingkat dalam suatu organisasi kerja. Perkara ini menunjukkan perbezaan pangkat seseorang seperti Profesor dengan Profesor Madya.
  • Status- merujuk kepada latar atau tempat perbualan dilakukan. Penggunaannya berdasarkan situasi, contohnya seseorang akan menggelarkan hakim sebagai Yang Arif  jika berada di mahkamah.
  • Bergelar- gelaran yang diperoleh ketika belajar dan digunakan ketika bekerja, misalnya gelaran cikgu di sekolah ialah 'cikgu'.

RUMUS KEJADIAN BERSAMA
Menurut rumus ini, sesuatu rujukan kehormat mesti disesuaikan dengan kedudukan orang yang disapa dan digunakan pada tempat yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, orang yang mempuyai pangkat 'Datuk' akan menggunakan rujukan kehormat Yang Berbahagia.

RUMUS PERURUTAN
Susunan kata sapaan yang bermula dengan rujukan kehormat, diikuti gelaran yang disandang dan nama peribadi. Contohnya, Doktor Haji Abdul Rahman bin Abdul Rasyid.

Thursday 19 April 2012

Situasi 30 ~Bahasa Argot~

Adakah anda pernah mendengar mengenai bahasa Argot? Mungkin ada yang pernah mendengarnya dan mungkin ada yang tidak pernah mendengar istilah ini. Sebenarnya hari ini saya ingin berbicara tentang bahasa argot. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 77), argot ialah bahasa yang khusus digunakan oleh kumpulan sosial tertentu dan bersifat rahsia. argot juga merujuk kepada kosa kata spesifik informal dari suatu bidang ilmu, hobi, pekerjaan, olahraga dan sebagainya. Menurut Nirmala Sari seorang ahli linguistik dari Indonesia mengemukakan bahawa istilah lain Argot adalah Jargon.
Di bawah ini saya tunjukkan beberapa contoh supaya pembaca lebih memahami bahasa Argot ini:

GEREK
Perkataan 'gerek' mendukung dua makna yang berbeza mengikut kawasan penuturnya. Hal ini demikian kerana di Sarawak 'gerek' mendukung makna kekasih manakala masyarakat di negeri Kedah menyebut 'gerek' yang membawa maksud basikal.


BEKWOH
Perkataan 'bekwoh' merupakan istilah daripada bahasa Inggeris yang sebenarnya daripada perkataan 'big work'. Istilah 'bekwoh' ini digunakan oleh masyarakat Kelantan yang membawa makna kenduri. Namun, hal ini berbeza sekali dengan masyarakat Kedah yang menggunakan perkataan 'bekwoh' untuk maksud merayau.


PENDAPAT:
Indahnya bahasa!Kepelbagaian bahasa mampu memperbanyak kosa kata sekali gus menambahkan pengetahuan dan memperkaya bahasa kita. Apa yang penting ialah kebijaksaan kita menggunakan bahasa mengikut kesesuaian masa.

Situasi 29 ~Karenah dan Kerenah


a) Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan karenah akhir zaman.
b) Kelambatan pemprosesan permohonan itu disebabkan oleh kerenah birokrasi.
Perkataan yang bercetak condong itu pasti ramai yang tidak dapat membezakan penggunaannya. Kedua-dua perkataan ini dibezakan sifat bunyinya oleh huruf vokal (a), (e pepet) dan (e taling) dalam suku-suku kata tertentu.
Perkataan karenah dibarisi oleh vokal (a) dalam suku kata pertama dan vokal (e taling) dalam binaan suku kata kedua, maka bunyi kata ini ialah (karenah). Kata kerenah dibunyikan sebagai (kerenah) dengan kedua-dua huruf vokal (e) dalam suku kata pertama dan suku kata kedua perkataan itu vokal (e pepet).
Kata karenah yang berasal daripada perkataan bahasa Arab yang membawa empat maksud, iaitu makna alamay, bukti, tanda dan cena. keempat-empat kata ini merupakan sinonim kepada kata karenah ini. Maksud karenah ini terkandung dalam ayat yang pertama di atas. Contohnya:
a) kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan tanda akhir zaman
b) kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan cena akhir zaman.
Manakala kata kerenah tidak asing lagi maknanya kerana kata ini sering digunakan oleh komuniti bahasa Melayu dalam kegiatan berbahasa. Kerenah membawa beberapa maksud, iaitu ragam, tingkah laku, kemahuan dan perangai. Selain maksudnya yang terkandung dalam ayat (b) di atas, kata kerenah dapat digunakan seperti di bawah:
a) banyak benar kerenah budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.
b) banyak benar ragam budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.


PENDAPAT:
Jelaslah, kata karenah dan kerenah sebenarnya membawa maksud yang berbeza. Jika kita tersilap menggunakannya dalam ayat, pastilah maksud ayat berubah atau tidak membawa maksud sebenar yang hendak diungkapkan. Oleh itu, berhati-hatilah memilih kata yang betul untuk menepati maksud sebenar yang hendak dinyatakan.

Friday 13 April 2012

Situasi 28 ~Bahasa Pasar~

Bahasa pasar adalah bahasa kacukan antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa bukan Melayu di negara ini. Ia dianggap variasi bahasa Mealyu kerana susuk atau bentuk bahasa Melayu yang digunakan dalam perbualan antara orang Melayu dengan bangsa lain masih lagi menggunakan bahasa Melayu.
Sesetengah daripada ungkapan atau perkataan daripada bahasa pasar ini telah meresap masuk ke dalam bahasa Melayu sehingga kebanyakan orangg tidak mengetahui bahawa bahasa itu berasal daripada bahasa pasar, bukannya bahasa Melayu yang sebenar. Antaranya ialah ungkapan: apa boleh buat, apa mau, kasi tau, banyak mahal, sedikit masa, cukup pandai, dia punya rumah, itu macam la, saya punya anak dan sebagainya.
Selain itu, terdapat juga kesilapan seperti mengulangi kata jamak 'mereka' sebagai 'mereka-mereka' atau 'para guru' sebagai 'para-para guru'.

PENDAPAT:
Bahasa Pasar dengan bahasa Melayu baku tidak dapat dibezakan oleh masyarakat sekarang akibat penggunaan yang kerap. Hal ini telah menimbulkan kekeliruan kepada pengguna. Seharusnya, media elektronik seperti radio dan televisyen memainkan peranan yang penting untuk memartabatkan bahasa Melayu baku. Malangnya, kerap kali kita mendengar media tersebut tidak tepat atau salah sehinggakan maknanya berubah. Misalnya: 'tempoh dengan tempuh', 'selok dengan seluk', 'lewat dengan liwat', 'cucuk dengan cocok', 'golongan dengan gulungan' dan lain-lain.





Situasi 27 ~Masyarakat Kita~

Sekarang cuti pertengahan semester, jadi aku mengambil peluang ini untuk pulang ke kampung halamanku, iaitu Kelantan. Biasanya apabila berada di kampung aku akan keluar dengan rakan-rakan rapatku. Semalam, aku keluar bersama dengan rakan-rakanku. Semasa dalam perjalanan, kami ternampak seorang warga asing yang berada di tepi jalan sedang menahan kereta yang lalu-lalang, namun tidak ada sebuah kereta pun yang berhenti. Warga asing itu yang berpayung dan memegang topi keledar hanya tersenyum sahaja walaupun tidak ada kenderaan pun yang berhenti. Aku dan rakan yang melihat mengeluh dan rasa sangat kesian dengan warga asing tersebut. Kami pun tidak tahu dia ingin menumpang atau bertanya jalan sahaja. Aku tertanya-tanya di manakah sifat belas kasihan dan prihatin masyarakat kita sekarang yang boleh melihat kesusahan orang lain begitu sahaja. Apa pula pandangan warga asing tersebut kepada masyarakat kita? Walaupun kami ingin membantu, namun kami tidak mampu kerana hanya menaiki motosikal dan warga asing tersebut lelaki.


PENDAPAT:
Masyarakat kita sekarang lebih bersikap 'aku-aku engkau-engkau' berbanding masyarakat dahulu yang tidak boleh melihat kesusahan orang lain dan sentiasa bantu-membantu.

Sunday 8 April 2012

Situasi 26 ~Guru dan Cikgu~

Kadang-kadang kita tidak boleh bezakan di mana harus menggunakan perkataan guru dan cikgu. Sering kali kita keliru dan tersalah menggunakannya. Contohnya:

Cikgu, apa jawapan untuk soalan ini?
Guru, apa jawapan untuk soalan ini?
Aku ada terbaca dalam sebuah blog mengenai perbezaan ini, iaitu dalam sebuah blog Bicara Bisnis yang didapati dari Dr Cikgu Muhammad Ariff Ahmad:
Ramai orang berpendapat bahawa 'cikgu' dan 'guru' seerti dan perkataan itu boleh menggantikan satu sama lain. Ada pula pendapat yang mengatakan bahawa 'cikgu' merupakan panggilan kepada guru, misalnya, panggilan Cikgu Sarina, Cikgu Azizah, Cikgu Salmah dan lain-lain. 
'Guru' pula maknanya orang yang mengajar (teacher). 'Guru' juga membawa pengertian umum bagi 'cikgu'. Contohnya:
Cikgu Melati mengajar di sekolah menengah.
Anaknya yang sulung menjadi guru.
Perkataan 'cikgu' berasal daripada dua suku kata, iaitu 'cik'- singkatan daripada perkataan 'encik'. Kata ganti nama 'encik' juga digunakan sebelum nama perempuan yang belum berkahwin atau digunakan sewaktu bercakap dengan perempuan atau lelaki yang tidak begitu dikenali. Singkatan bagi perkataan ini ialah 'cik'. Misalnya, Cik Ramlah, Cik Fauzi dan sebagainya.
Menurut Kamus Dewan halaman 420, kata ganti nama 'cik' yang diikuti perkataan 'gu', membentuk perkataan 'cikgu' yang digunakan sebagai panggilan kepada guru (dalam bahasa Inggeris, teacher). Perkataan 'guru' pula bererti orang yang mengajar, pendidik, pengajar, dan pengasuh.
Oleh itu, pendapat yang mengatakan bahawa perkataan 'cikgu' digunakan bagi nama panggilan, misalnya, Cikgu Aida, Cikgu Fairus, Cikgu Farid dan lain-lain (nama-nama khas) dan perkataan 'guru' pula digunakan dalam bentuk nama am bagi perkataan 'cikgu', memanglah betul. Orang-orang dahulu mengatakan bahawa terdapat perbezaan makna dan tugas antara 'cikgu' dan 'guru' sebab suku kata 'gu' dalam bahasa Sanskrit bererti orang yang mengajar, sementara suku kata 'ru' pula bererti 'contoh yang baik'.
Kedua-dua suku kata tersebut disatukan menjadi perkataan 'guru' yang bererti 'orang yang mengajar dan menunjukkan contoh yang baik'...
'Cikgu' pula bererti orang yang tugasnya hanya mengajar.
Menurut pendapat ini, orang yang dipanggil 'guru' lebih berat tugas dan tanggungjawabnya daripada 'cikgu' sebab 'guru' bertugas mengajar dan menunjukkan contoh yang baik dari segi tingkah laku. Oleh itu, perkataan 'guru' dengan 'cikgu' berbeza makna dan tugas.
Cikgu hanya mengajar atau menyampaikan ilmu dan tugasnya selesai selepas waktu sekolah. Selepas waktu kerja, cikgu dan murid membawa haluan masing-masing bak kata orang, 'lu sapa, gua sapa'. Berbeza pula dengan guru yang tugasnya mengajar dan menunjukkan contoh yang baik untuk membentuk akhlak dan peribadi anak didiknya.




Friday 6 April 2012

Situasi 25 ~Lelaki Lembut~

Ketika tengah berebut-rebut untuk menaiki bas, terdengar bunyi percakapan sekumpulan lelaki lembut, "euwww,i tak suka la perempuan lembut-lembut ni...geli melihatnya...tak suka..tak suka...tak suka...". Aku yang mendengarnya terasa hendak tergelak. Apa tidaknya, perempuan sememangnya dilahirkan dengan sifat lemah-lembut tapi mereka yang dilahirkan dengan fizikal yang kuat, tiba-tiba menukar perwatakan menjadi lembut. Seharusnya mereka perlu geli dengan diri sendiri. Bak kata pepatah, "kuman seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampak". Lembut bukan sahaja dari segi tutur kata, tetapi juga melalui gaya kehidupan seharian mereka. Penampilan diri yang lebih ke arah kewanitaan seperti memakai beg tangan wanita, bersolek dan cenderung bercakap tentang kekacakan lelaki juga merupakan antara ciri-ciri golongan terbabit. 
Bercakap mengenai lelaki lembut, ia bukanlah suatu perkara yang baru. Fenomena lelaki lembut sedang berlaku di seluruh dunia dan sudah berlaku sejak dahulu lagi. Bukan menafikan kewujudan mereka, malah tiada siapa pun yang mahu ditakdirkan sebegitu.
Namun, sama ada ia naluri semula jadi atau sengaja dibuat-buat, ramai yang belum pasti dengan realiti gejala sosial tersebut. Ia merupakan senario yang kini semakin popular terutamanya dalam kalangan pelajar universiti. Senario lelaki lembut juga berlaku dalam kalangan siswa universiti kita. 
Kebanyakan lelaki lembut di UPSI menjadi lembut kerana terpengaruh dengan rakan-rakan dan golongan ini biasanya mempunyai ketuanya.


PENDAPAT: 
Seharusnya, pelajar universiti kita tidak patut terlibat dengan gejala lelaki lembut ini kerana mereka akan keluar menjadi seorang guru kelak. Perangai dan tingkah laku guru akan menjadi contoh dan ikutan kepada pelajar. Jadi, guru mestilah mempunyai perangai yang elok agar pelajar mencontohi perangai yang elok juga.



Thursday 5 April 2012

Situasi 24 ~MBMMBI~

Semalam telah diadakan Forum Bahasa Melayu di Auditorium. Forum ini diadakan untuk membincangkan tentang Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Antara kata-kata yang dapat dipetik daripada forum tersebut ialah:
"rambut hitam diputihkan, seluar cantik dikoyak-koyakkan, bahasa Melayu dirojakkan, cakap Melayu disorokkan, cakap Inggeris dibangga-banggakan, inilah Melayu yang perasan hendak jadi orang putih." MBMMBI dilaksanakan setelah mengambil keputusan untuk memansuhkan dasar PPSMI. memartabatkan Bahasa Malaysia bermaksud meletakkan Bahasa Malaysia pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Malaysia juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996. memperkukuh Bahasa Inggeris membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.

PENDAPAT:
Forum yang telah diadakan ini begitu bermanfaat untuk kita sebagai bakal guru mengetahui isu pendidikan sekarang. Saya begitu berbangga dengan Dr. Teo yang bukan berbahasa Melayu tetapi bercakap mengenai bahasa Melayu. Beliau begitu bersemangat bercerita mengenai tiga nilai tentang bahasa dan bangsa Melayu.

Monday 2 April 2012

Situasi 23 ~Khidmat Pelanggan~

Petang semalam aku dan beberapa orang rakan telah ke sekolah di Batang Kali untuk urusan pengajaran makro. Selesai sahaja urusan sekolah, kami telah singgah di pekan Batang Kali. Kami telah mengunjungi beberapa tempat seperti Econsave, Marry Brown dan akhir sekali ke Pusat Pakaian Hari-hari.
Daripada tiga tempat tersebut, aku sangat berpuas hati dengan layanan yang telah diberikan oleh pekerja di kedai Pusat Pakaian Hari-hari tersebut. Mereka sangat mesra dengan pelanggan. Mula-mula masuk kami telah ditegur dengan sapaan 'hai,selamat datang', 'boleh saya tolong', terima kasih, sila datang lagi' dan yang paling buat aku berpuas hati dengan khidmat pelanggan yang diberikan ialah salah seorang pekerjanya datang memberi bakul kerana melihat kami susah untuk memegang barang yang telah dibeli.


PENDAPAT:
Jika setiap kedai di Malaysia mengamalkan etika seperti di Pusat Pakaian Hari-hari sudah tentu semua pelanggan akan berpuas hati dan ingin selalu ke kedai tersebut. Namun, hal ini jarang berlaku di kedai-kedai di Malaysia kerana kebanyakan khidmat pelanggan yang disediakan tidak memuaskan.

Saturday 31 March 2012

Situasi 22 ~Bahasa Pujukan~

Pujukan memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi seseorang untuk melakukan sesuatu. Bahasa pujukan digunakan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain agar mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan. Raminah Sabran (2002) menjelaskan pemujukan bermatlamat memujuk seseorang berbuat sesuatu seperti yang diharapkan. Tengok situasi di bawah:

Situasi 1

Penjual: sesuai sangat tudung itu dengan adik..cantik la kalau adik pakai...
pembeli: ye ke kak?
Penjual: ye dik...rugi betul kalau adik tak beli...menyesal nanti..
pembeli: kira jadi la kak tudung ini..


Situasi 2

Mira: Ika, cantik la beg kau...baru beli ke?
Ika: ye ke? aku baru je beli tiga hari lepas...
Mira: ye la...memang cantik habis la...mesti mahal kan?
Ika: tak ada la...biasa-biasa je...
Mira: nanti boleh la aku pinjam ye..
Ika: eh,boleh je..

Situasi 3

Anak: ada apa-apa yang boleh saya tolong mak? Kesian pulak tengok mak buat kerja...
Mak: tolong mak goreng ikan la..
Anak: itu je ke mak?lain-lain tak ada ke?saya tak ada kerja nak buat ni...
Mak: itu je la...yang kau rajin sangat ni kenapa?tak pernah-pernah tolong mak buat kerja...
Anak: Saya nak duit  RM50 boleh mak?hehe

PENDAPAT:
Bahasa pujukan sangat penting dan berupaya mempengaruhi seseorang dalam membuat sesuatu keputusan. Bahasa pujukan ini biasanya digunakan oleh penjual-penjual untuk mempenagruhi dan memujuk pelanggan.
Arak-arak kelapa puan,
Tidak puan kelapa bali,
Harap-harap kepada tuan,
Tidak tuan siapa lagi.

Thursday 29 March 2012

Situasi 21 ~Puisi Melayu~

~PERIBAHASA~
Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap di dengar dan bijak perkataannya. Terdapat pihak yang mengklasifikasikan peribahasa kepada peribahasa selapis, yang terdiri daripada pepatah, bidalan dan perbilangan, peribahasa berlapis, iaitu perumpaan dan lidah pendeta. Contohnya:
bagai isi dengan kuku- hubungan yang sangat akrab

~Simpulan Bahasa~
Abdullah Hussein (1990), simpulan bahasa ialah perkataan atau kelompok perkataan yang tertentu untuk menyatakan sesuatu maksud lain daripada erti yang lazim. Contohnya:
Panjang tangan- suka mencuri

~Perumpamaan~
peribahasa yang mempunyai makna dua lapis. Peribahasa seperti ini menyebutkan sesuatu maksud dengan diumpamakan kepada sesuatu perkara yang sebanding dengannya. Ada kalanya juga, perumpamaan disebut sebagai bahasa kiasan atau kias ibarat. Contohnya:
seperti katak di bawah tempurung- orang yang tidak tahu apa-apa yang berlaku di sekelilingnya
Diberi betis hendak paha-diberi sedikit hendak banyak

~Bidalan~
Sebahagian daripada peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat, peringatan dan sebagainya kepada masyarakat di samping mempunyai ilmu, nilai dan pengajaran yang sangat berguna (Rubiah Aksah, 2005: 222). Contohnya:
"Hilang bini boleh dicari, hilang budi badan celaka"- harta yang hilang boleh dicari ganti, tetapi sekiranya budi yang hilang seseorang itu akan menerima padahnya.

~Pepatah-petitih~
Panduan dan pedoman daripada orang tua-tua agar masyarakat kini dapat menjalani kehidupan dan mengamalkan adat resam dengan lebih sempurna (Rubiah Aksah,2005: 174). Contohnya:
"Jauh berjalan banyak pengalaman, lama hidup banyak dirasa"- orang yang suka merantau akan mempunyai banyak pengalaman dan orang tua yang panjang umurnya telah banyak merasai suka duka dalam kehidupan.

~Perbilangan~
Mempunyai struktur yang hampir sama dengan pepatah dan bidalan melainkan perbilangan disusun  berangkap-rangkap seperti ikatan puisi. Setiap rangkap pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan disebut satu demi satu seolah-olah orang sedang membuat perbilangan. Ia berkait rapat  dengan adat istiadat, undang-undang atau peraturan masyarakat. Contohnya:
"cubit paha kiri, paha kanan terasa- kita akan merasa penderitaan yang ditanggung oleh orang yang rapat dengan kita.

~Gurindam~
Satu bentuk puisi Melayu yang terdiri daripada dua baris yang berpasangan, bersajak atau berirama dan memberi idea yang lengkap atau sempurna dalam pasangannya. Baris pertama gurindam dipanggil syarat (protasis) dan baris kedua dipanggil jawab (apodotis). Contohnya:
"kalau banyak berkata-kata, di situlah boleh terjadi dusta"- orang yang banyak bercakap akan menipu juga.

~Seloka~
Puisi Melayu bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, sama ada mempunyai irama atau tidak. Secara amnya, terdiri daripada ungkapan sejajar yang melebihi daripada dua baris, mempunyai kadensa yang sama seperti talibun dan prosa berirama. Ciri penting bagi seloka adalah mempunyai maksud mengejek, menyindir secara serius atau jenaka, mengkritik tingkah laku dan sifat negatif. Contohnya:
Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk

~Tamsil~
Misalan yang berkias serta mengandungi pengajaran dan teladan. Contohnya:
Resmi padi, makin berisi makin menunduk

~Ibarat~
Mempunyai maksud berlapis, iaitu maksud tersurat berbeza dengan maksud tersirat. Contohnya:
Ibarat melukut di tepi gantang

~Kata-kata Pujangga~
Hasil pemikiran bijak pandai dan tokoh-tokoh tersohor. Biasanya mengandungi pengertian yang mendalam, iaitu sebagai suatu peringatan di samping menjadi panduan dalam kehidupan (Rubiah Aksah, 2005: 268). Contohnya:
Muafakat membawa berkat

~Hadis Melayu~
hadis Melayu adalah perkataan yang bukan bersandar atau disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Ia adalah ungkapan mengenai sesuatu perkara yang kebanyakannya diambil daripada kitab-kitab Jawi lama atau banyak merujuk kepada buku terjemahan dalam bahasa Melayu tanpa merujuk kepada naskhah asal bahasa Arabnya. Contohnya:
'Bekerjalah kamu seolah-olah kamu hidup seribu tahun lagi dan beribadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok'.

Tuesday 27 March 2012

Situasi 20 ~Dialek Sarawak~


Dalam kelas hari ini, aku terdengar perbualan rakan dari Sarawak. Namun, sedikit pun aku tidak dapat memahami perkara yang mereka sedang bualkan. Bahasa yang digunakan lain benar dengan bahasa Melayu standard.
Bahasa Melayu Sarawak merupakan dialek yang paling besar perbezaannya dengan dialek-dialek Melayu lain di Malaysia. Dialek ini juga dipengaruhi bahasa Melayu Brunai, Bahasa Iban, Bidayuh, Melanau, dan bahasa suku-suku di Filipina. Berikut adalah beberapa perkataan dalam dialek Melayu Sarawwak:

kamek= saya
kitak= awak/kamu
Nya= dia
Sik= tidak 
Sikboh= jangan
Itok= ini
Sitok= sini
Ya= itu
Siya= situ
Sinun= sana
Ne= mana
Sine= di mana
Madah= cakap
Sidak= orang
Kacak= cantik
Lawa= sombong
Lamak= lama
Temu= jumpa
Pusak/pusa= kucing
Asok= anjing
Manok= ayam
Ya= auk


PENDAPAT:
Dialek Sarawak begitu unik dan sangat susah untuk difahami oleh penutur lain.

Monday 26 March 2012

Situasi 19 ~Tesis Bahasa SMS~

Pensyarah kesan pelajar IPTA terbiasa guna singkatan dalam tugasan

KUALA LUMPUR: Fenomena penggunaan bahasa singkatan SMS dan bahasa sembang siber yang semakin serius mempengaruhi pelajar sekolah turut melanda pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sehingga ada yang menggunakannya dalam penulisan tesis dan tugasan.
Malah ada pensyarah yang berasa tidak dihormati dan menganggap pelajar bersikap biadap kerana menghantar SMS yang singkat dan tidak formal seolah-olah memandang remeh batasan hubungan antara pensyarah dan pelajar. (Berita Harian, 8 Jun 2011)
'Tesis Bahasa SMS', pernah menjadi tajuk depan Berita Harian tahun lepas. Hal ini menunjukkan betapa seriusnya masalah ini.
Apakah yang dimaksudkan dengan SMS? 

SMS merupakan salah satu fenomena bahasa atau trend pada masa kini yang berleluasa dalam kalangan pengguna telefon bimbit. SMS adalah singkatan kepada Short Messaging Service atau Khidmat Pesanan Ringkas. Penggunaan bahasa SMS melalui komunikasi telefon bimbit pada zaman sekarang telah merebak kepada semua komunikasi lain seperti emel, penulisan blog, dan forum komuniti termasuk laman sosial seperti Facebook, MySpace, Twitter dan lain-lain. Bahasa SMS mencemarkan bahasa Melayu kerana terdapat penggunaan bahasa singkatan, bahasa rojak, slanga dan sebagainya yang menyebabkan hilangnya ketulenan bahasa tersebut. Contohnya:
 "akum, ley x sape2 bgtau cm ne nk siapkn keje ni...? idea plz..."
("Assalamualaikum, boleh tidak sesiapa beritahu macam mana hendak siapkan kerja ini..? idea please...")


PENDAPAT:
Jika dahulu hanya pelajar sekolah sahaja yang begitu terpengaruh dengan bahasa SMS  sehingga menggunakannya ketika peperiksaan, namun wabak ini telah menjangkiti pelajar IPTA pula sehingga terbawa-bawa ke dalam tesis. Keadaan ini menunjukkan bahasa SMS sangat mempengaruhi masyarakat kita pada hari ini. Hal ini tidak sepatutnya terjadi kepada pelajar IPTA yang dianggap mempunyai pelajaran yang tinggi dan merupakan harapan negara. selain itu, ia juga akan mencemarkan kemurnian bahasa Melayu sekali gus akan memusnahkan bahasa Melayu suatu masa nanti.


Situasi 18 ~Istirahat atau Istirehat~

Antara perkataan istirehat dengan istirahat yang mana sebenarnya betul ejaannya? Sewaktu di sekolah dahulu, aku sering menggunakan perkataan istirehat untuk maksud "suasana bersantai" atau "berhenti daripada melakukan sesuatu untuk menghilangkan penat".
Yang kita tidak sedari ialah perkataan istirehat ini tidak disenaraikan di dalam mana-mana empat versi Kamus Dewan walaupun penggunaannya sangat kerap. Sebaliknya, yang disenaraikan ialah istirahat. Perkataan istirahat berasal daripada bahasa Arab.
Perkataan rehat dan rahat terdapat di dalam Kamus Dewan, dengan makna yang sama dengan istirahat. Perkataan rahat ini berasal daripada bahasa Arab juga, mungkin kependekan bagi perkataan istirahat. Perkataan rehat pula mungkin mungkin bentuk asal atau telah sedia ada dalam bahasa Melayu lalu digunakan secara baku.



PENDAPAT:
Kelaziman penggunaan istirehat mungkin disebabkan wujudnya perkataan yang hampir sama makna, iaitu rehat. Perkataan ini mungkin sebagai ganti istirahat, yang disesuaikan sebutannya kerana kejanggalan menyebut rahat

Sunday 25 March 2012

Situasi 17 ~Bahasa Badan~

Semasa dalam kelas KPD, pensyarah telah menegur salah seorang daripada rakan sekelas aku kerana dirasakan berlainan daripada biasa. Macam mana pensyarah tersebut boleh mengetahui? Beliau boleh membacanya melalui bahasa badan pelajar tersebut.
Bahasa badan merupakan komunikasi tentang perasaan, emosi, dan sikap seseorang menerusi pergerakan badan seperti gerak isyarat, postur, ekspresi muka, cara berjalan, kedudukan, dan jarak. Dalam kata lain, bahasa badan adalah cara seseorang menyampaikan emosi menerusi pergerakan badan.

Menurut Albert Mehrabian, seorang pengkaji yang merintis kajian tentang bahasa badan sekitar tahun 1950-an, impak kata-kata dalam menyampaikan sesuatu mesej cuma sekitar 7%, 38% bergantung kepada suara, iaitu intonasi, kelantangan, dan gaya percakapan. Lebih separuh, iaitu 55% lagi bergantung kepada bahasa badan, mimik muka, gerakan tangan dan kaki serta gerakan badan.
Perasaankah anda apabila berkomunikasi dengan seseorang jika diamati ada perlakuan-perlakuan yang membawa erti tertentu yang perlu untuk kita fahami. Contohnya, apabila kita bercakap dengan seseorang:
Lihat jam di tangan atau di dinding (mungkin kesuntukan masa atau tiada masa untuk melayan anda.)
Mimik muka berkerut, mengerut kening (mungkin dia tidak percaya atau curiga dengan kata-kata kita.)
Menarik nafas dalam, menggeliat ( mungkin dia mula bosan dengan cakap anda.)
Membuat kerja lain ketika anda bercakap (mungkin dia rasakan apa yang anda cakapkan tidak penting atau bosan ataupun sengaja tidak mahu ambil perhatian.)
PENDAPAT:
Bahasa badan sangat penting untuk kita fahami supaya kita mengerti maksud di sebalik bahasa badan tersebut. sebagai seorang yang bakal bergelar guru, bahasa badan harus difahami supaya lebih memahami pelajar kelak.