Sunday 8 April 2012

Situasi 26 ~Guru dan Cikgu~

Kadang-kadang kita tidak boleh bezakan di mana harus menggunakan perkataan guru dan cikgu. Sering kali kita keliru dan tersalah menggunakannya. Contohnya:

Cikgu, apa jawapan untuk soalan ini?
Guru, apa jawapan untuk soalan ini?
Aku ada terbaca dalam sebuah blog mengenai perbezaan ini, iaitu dalam sebuah blog Bicara Bisnis yang didapati dari Dr Cikgu Muhammad Ariff Ahmad:
Ramai orang berpendapat bahawa 'cikgu' dan 'guru' seerti dan perkataan itu boleh menggantikan satu sama lain. Ada pula pendapat yang mengatakan bahawa 'cikgu' merupakan panggilan kepada guru, misalnya, panggilan Cikgu Sarina, Cikgu Azizah, Cikgu Salmah dan lain-lain. 
'Guru' pula maknanya orang yang mengajar (teacher). 'Guru' juga membawa pengertian umum bagi 'cikgu'. Contohnya:
Cikgu Melati mengajar di sekolah menengah.
Anaknya yang sulung menjadi guru.
Perkataan 'cikgu' berasal daripada dua suku kata, iaitu 'cik'- singkatan daripada perkataan 'encik'. Kata ganti nama 'encik' juga digunakan sebelum nama perempuan yang belum berkahwin atau digunakan sewaktu bercakap dengan perempuan atau lelaki yang tidak begitu dikenali. Singkatan bagi perkataan ini ialah 'cik'. Misalnya, Cik Ramlah, Cik Fauzi dan sebagainya.
Menurut Kamus Dewan halaman 420, kata ganti nama 'cik' yang diikuti perkataan 'gu', membentuk perkataan 'cikgu' yang digunakan sebagai panggilan kepada guru (dalam bahasa Inggeris, teacher). Perkataan 'guru' pula bererti orang yang mengajar, pendidik, pengajar, dan pengasuh.
Oleh itu, pendapat yang mengatakan bahawa perkataan 'cikgu' digunakan bagi nama panggilan, misalnya, Cikgu Aida, Cikgu Fairus, Cikgu Farid dan lain-lain (nama-nama khas) dan perkataan 'guru' pula digunakan dalam bentuk nama am bagi perkataan 'cikgu', memanglah betul. Orang-orang dahulu mengatakan bahawa terdapat perbezaan makna dan tugas antara 'cikgu' dan 'guru' sebab suku kata 'gu' dalam bahasa Sanskrit bererti orang yang mengajar, sementara suku kata 'ru' pula bererti 'contoh yang baik'.
Kedua-dua suku kata tersebut disatukan menjadi perkataan 'guru' yang bererti 'orang yang mengajar dan menunjukkan contoh yang baik'...
'Cikgu' pula bererti orang yang tugasnya hanya mengajar.
Menurut pendapat ini, orang yang dipanggil 'guru' lebih berat tugas dan tanggungjawabnya daripada 'cikgu' sebab 'guru' bertugas mengajar dan menunjukkan contoh yang baik dari segi tingkah laku. Oleh itu, perkataan 'guru' dengan 'cikgu' berbeza makna dan tugas.
Cikgu hanya mengajar atau menyampaikan ilmu dan tugasnya selesai selepas waktu sekolah. Selepas waktu kerja, cikgu dan murid membawa haluan masing-masing bak kata orang, 'lu sapa, gua sapa'. Berbeza pula dengan guru yang tugasnya mengajar dan menunjukkan contoh yang baik untuk membentuk akhlak dan peribadi anak didiknya.




No comments:

Post a Comment